28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Salut! Pencapaian SPM 2020 terbaik dalam tempoh 5 tahun

Mesti Baca

Gred Purata Negara 4.80 berbanding 4.86 tahun 2019

CYBERJAYA – Meskipun berlangsung dalam norma baharu dan penuh cabaran akibat pandemik COVID-19, namun pencapaian pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 masih terbaik dalam tempoh lima tahun.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin yang mengumumkan keputusan itu hari ini berkata, keseluruhannya SPM 2020 mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada 2019 yang mana nilai lebih kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik.

Beliau berkata, SPM tahun lalu juga menyaksikan jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar semakin mengecil daripada 0.44 mata pada 2019 kepada 0.38 mata pada 2020.

“Kedua-dua lokasi menjunjukkan peningkatan pada 2020 tetapi peningkatan pencapaian calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon di bandar,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Sebanyak 401,105 calon SPM 2020 menduduki peperiksaan itu pada Februari tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Radzi, sebanyak 43 mata pelajaran menunjukkan peningkatan pada 2020 manakala 39 lagi turun dan satu kekal.

Katanya, untuk prestasi mata pelajaran teras, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral mencatatkan peningkatan.

“Yang mencatatkan penurunan pada tahun lalu bagi mata pelajaran teras ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” jelasnya.

Sementara itu, kata Radzi, sebanyak 88.68 peratus calon layak mendapat sijil SPM pada 2020 meningkat 1.96 peratus berbanding tahun 2019.

“Bagi calon berkeperluan khas pula, 68.22 peratus layak mendapat sijil SPM pada 2020 berbanding 2019 yang berjumlah 61.34 peratus. Ini satu peningkatan sebanyak 6.88 peratus,” ujarnya.

Katanya, slip keputusan peperiksaan SPM 2020 yang lengkap jata dengan negara dan imbasan Kod QR seperti mana tahun sebelumnya boleh dimuat turun mulai 14 Jun.

Katanya, untuk sijil SPM pula akan diedarkan secara berperingkat mulai 10 Julai.

“Yang hari ini, slip keputusan peperiksaan boleh diperoleh dengan melayari laman web myresult.moe.gov.my atau menerusi SMS,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi memberi tabik hormat kepada semua calon SPM 2020 kerana kohort 2020 telah melalui banyak cabaran dan rintangan.

“Tidak pernah ada yang melalui seperti kohort SPM 2020. Tabik hormat pakcik kepada anak-anak.

“Begitu juga kepada guru-guru, anda telah melakukan yang terbaik untuk anak-anak didik calon SPM 2020.

“Tak pernah dalam sejarah kita terpaksa tutup sekolah, pembelajaran diteruskan secara PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah). Anda sudah melakukan yang terbaik,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan