36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

RM1 bilion dana pastikan vaksinasi lebih pantas

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan oleh kerajaan bagi meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat di negara ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM400 juta dikhususkan bagi menambah bekalan vaksin negara di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah bekalan vaksin yang ditempah kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

“Anak-anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diutamakan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan nilai keseluruhan RM150 bilion bagi memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat.

Pakej itu turut merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Beliau turut menegaskan, kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus.

Muhyiddin berkata, varian tersebut telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan.

“Sehingga hari ini, kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan PPV IPT.

“Bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 200 juta ringgit,” jelasnya.

Sebagai contoh, Perdana Menteri memberitahu, beliau telah mengunjungi program MyMedic @ Wilayah Mobile Vaccination di PPR Sri Johor, Kuala Lumpur yang menumpukan warga emas dan gelandangan serta penggunaan beberapa unit bas bergerak ke kawasan luar bandar yang melibatkan program imunisasi Orang Asli dan beberapa PPV pandu lalu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Baru-baru ini, saya juga berkesempatan mengunjungi PPV OKU-pandu lalu OKU Sentral di Ara Damansara, yang pertama seumpamanya di dalam negara,” ujarnya.

Beliau juga telah mengumumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021.

Tambah Muhyiddin, bayaran sagu hati turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin.

“Saya juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14,000 barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan bermula Julai 2021.

Katanya, kedua-dua inisiatif itu melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta dan merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta.

Selain itu, Muhyiddin memaklumkan, MITI telah menyelaras Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai PPV dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja.

“Kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan.

“Kerjasama ini penting untuk membolehkan kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik.

“Sehubungan itu, bagi menggalakkan pelaksanaan PIKAS dan mengurangkan tanggungan syarikat, sejumlah RM150 juta akan disediakan,” jelasnya.

Di bawah inisiatif itu, kata beliau, kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19.

“Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan.

“Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV dan
kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan.

“Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga RM30 atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan