26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Muhyiddin umum pakej PEMULIH berjumlah RM150 bilion

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM150 bilion.

Perdana Menteri berkata, jumlah tersebut turut merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion yang disalurkan berdasarkan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, PEMULIH memberi tumpuan bantuan menyeluruh kepada rakyat dengan memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu meneruskan keprihatinan rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej ransangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion.

“Setakat ini sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta peniaga,” katanya ketika mengumumkan perkara itu hari ini.

Muhyiddin berkata, di bawah agenda prihatin rakyat, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung sebanyak RM10 bilion yang merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) serta bantuan kehilangan pendapatan.

Kata beliau, dengan ketiga-tiga bantuan tunai tersebut, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya.

“Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu saudara dan saudari untuk meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan
mendatang, insya-Allah,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi menyokong perniagaan ketika pandemik Covid-19, kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan dalam fasa pertama dan kedua PPN.

Antaranya ialah pelaksanaan Geran Khas Prihatin (GKP) yang sebelum ini diperuntukkan sebanyak RM5.1 bilion di bawah PEMERKASA dan PEMERKASA tambahan.

“Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak RM500 akan dibayar pada September dan RM500 lagi pada November 2021.

Selain itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad atau SJPP telah meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan sebanyak RM10 bilion kepada RMRM36.5 bilion pada tahun ini.

“Sehingga 24 Jun 2021, SJPP telah memberikan jaminan bagi pembiayaan bernilai RM33.4 bilion kepada lebih 45 ribu buah syarikat.

“Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan, Kerajaan akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak RM20 bilion menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM56.5 bilion,” katanya.

Manakala Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan menambah RM2 bilion bagi bantuan kewangan kepada usahawan PKS daripada RM6.6 bilion baki sedia ada daripada RM25.1 bilion yang diperuntukkan.

Ini menjadikan baki dana berjumlah RM8.6 bilion yang diharap dapat memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka, kata Muhyiddin.

Bagi meningkatkan vaksinasi, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif tambahan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ini termasuk menambah RM400 juga untuk mempercepatkan lagi jadual pelaksanaan PICK menjadikan jumlah bekalan vaksin dapat menampung sehingga 130 peratus jumlah penduduk berbanding 120 peratus sebelum ini.

“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok
penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

“Anak-anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diutamakan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan