CYBERJAYA – Seramai 1,267,758 individu telah melengkapkan penerimaan dua dos vaksin Covid-19 di negara ini di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan melalui akaun Twitternya, seramai 2,835,178 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 4,102,936 dos.
Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 165,516 dos diikuti Sarawak (130,641), Kuala Lumpur (118,255), Johor (117,725) dan Perak (115,298).
Sementara itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan seramai 157,949 pemberian dos pertama dan kedua, semalam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 111,130 untuk dos pertama dan 46,819 untuk dos kedua.
Dalam fasa pertama program itu dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan telah menerima vaksin.
Fasa kedua yang bermula April lepas hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan ke atas 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.
Fasa ketiga pula yang bermula bulan lepas hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
Hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah pemberian vaksin harian yang tinggi membuktikan PICK yang dimulakan pada 24 Feb lepas berjalan dengan baik..

“Alhamdulillah vaksinasi sudah meningkat… semalam lebih 156,000 orang (terima suntikan vaksin) dan ia akan meningkat sampai 200,000 ke 250,000 pada Julai dan seterusnya 300,00 hingga 400,000 sehari.
“Ini membuktikan program imunisasi berjalan dengan baik dan yang penting kita nak lebih ramai mendaftar dengan MySejahtera ini (untuk mendapatkan suntikan vaksin).
“Tidak perlu bimbang dan takut kerana terbukti, dengan vaksin kita ada perlindungan atau antibodi bagi menjauhkan kita daripada wabak Covid-19,” kata beliau.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia dan meninjau pusat pemberian vaksin secara pandu lalu Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur.
Muhyiddin berkata, kerajaan memberi jaminan setiap rakyat yang layak mendapat suntikan vaksin akan menerimanya bagi mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini seterusnya memastikan keadaan negara termasuk sistem kesihatan bertambah baik selain ekonomi terus pulih. – Edisi 9

