30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

2 lagi kertas siasatan dibuka terhadap Phillip Among

Mesti Baca

KOTA KINABALU – Dua lagi pertuduhan baharu mungkin menanti bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Phillip Among.

Semalam, beliau didakwa dengan lima pertuduhan mencabul kehormatan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu .

Memetik laporan BH Online, dua lagi kertas siasatan polis membabitkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan No 2) 2021.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan selesai dan kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kemungkinan pendakwaan dilakukan atau tidak, itu terpulang kepada mereka (pejabat Peguam Negara),” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Belud, di sini, hari ini.

Lima tuduhan yang dihadapi Philip semalam adalah di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan selepas didakwa mencabul dua wanita berasingan termasuk ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau.

Phillip, 52 yang juga seorang ahli perniagaan didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan terhadap seorang wanita di sebuah rumah penginapan di sini, pada 11 malam, 17 April lepas.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan sama ke atas seorang peserta Unduk Ngadau di beberapa lokasi berbeza di Kota Kinabalu, antara 2 petang dan 10 malam pada 19 Mei.

Kesemua pertuduhan yang dikemukakan membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.

Majistret Jessica Ombou Kakayun membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 14, 21 dan 22 Julai ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali sementara tertuduh diwakili peguam Marcel Jude.

Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik tradisional tahunan yang diadakan bersempena perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh etnik Kadazandusun serta rakyat di negeri ini pada setiap Mei.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan