34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kutip derma ikat jamin rider, polis siasat kenyataan Pembela

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Polis memulakan siasatan berhubungan kenyataan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dalam Facebook yang menjalankan kutipan derma bagi membayar ikat jamin lima penghantar makanan yang ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menafikan kenyataan itu kerana polis tidak pernah mengenakan atau meminta apa-apa bayaran bagi ikat jamin terhadap orang kena tangkap (OKT).

Menurut beliau, polis mengesyaki terdapat individu atau persatuan yang mengambil kesempatan dengan cuba membuat kutipan derma untuk kepentingan peribadi.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Fakhrudin menambah, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 244 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terperdaya dengan sebarang hantaran melibatkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meminta derma daripada mana-mana individu atau persatuan.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu sebagai pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan media sosial,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya dalam kenyataan media hari ini berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada PDRM sekiranya ingin menyiasat perkara ini memandangkan mereka tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin disembunyikan.

Beliau memberitahu, Pembela akan bersikap telus dengan semua pihak termasuk pihak polis yang telah mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menjalankan siasatan.

“PEMBELA juga akan memaklumkan kepada rakyat akan perkembangan bantuan ini dari masa ke masa bagi menjamin ketelusan dan integriti kami,” jelasnya.

Aminuddin menambah, Pembela juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada tabung kilat yang diwujudkan bagi membantu lima penghantar makanan yang telah direman oleh polis dan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau memberitahu, mereka direman bagi membantu siasatan berhubung kes seorang individu yang dipukul kerana didakwa menghina nama Allah.

“Kelima-lima rider ini kemudiannya telah dihadapkan ke mahkamah untuk mendapat perintah reman di mana pihak polis memohon reman selama empat hari tetapi pihak peguam telah berjaya mengurangkan masa reman daripada empat hari kepada dua hari.

“Semasa sebelum prosiding reman salah seorang dari yang direman memaklumkan kepada peguam bahawa jika dituduh mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan wang jaminan,” jelasnya.

Aminuddin berkata, Pembela telah dihubungi oleh pihak Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) untuk membantu ahlinya.

Oleh kerana itu, beliau memberitahu, Pembela berasa terpanggil untuk membantu melepaskan rider ini yang mana dijangka memerlukan wang jaminan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 seorang jika dituduh di mahkamah kelak.

“Ini merupakan anggaran berdasarkan prosedur biasa, menurut peguam,” jelasnya.

Aminuddin berkata, atas persetujuan bersama, Pembela telah mengambil initiatif untuk menyalurkan kutipan tersebut bagi membiayai ikat jamin sekiranya mereka dituduh di mahkamah, kos kerugian akibat kehilangan pendapatan, bantuan kepada persatuan penghantar makanan dan kebajikan keluarga penghantar-penghantar makanan terbabit.

“Peguam-peguam yang dilantik oleh Pembela semalam iaitu Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Mohd Tajuddin Abdul Razak telah menyatakan dengan jelas kepada Pembela bahawa mereka menjalankan khidmat ini secara pro bono dan tidak akan mengambil sebarang yuran perkhidmatan ataupun perbelanjaan dari mana-mana pihak.

“Pembela dimaklumkan rider tersebut dijangka dilepaskan dari tahanan reman hari ini dan pihak kami telah berhubung dengan wakil rider bagi menguruskan bantuan tersebut hasil dari kutipan yang dibuat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang 11 Jun lalu, lima penghantar makanan berumur 19 hingga 40 tahun ditahan kerana memukul seorang pelanggan berusia 29 tahun yang didakwa menggunakan nama menyentuh sensitiviti agama. – EDISI 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan