26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Agong berhak panggil sesi perbincangan khas raja-raja

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tindakan mana-mana pihak yang mempertikaikan prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memanggil perbincangan khas dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini menunjukkan pengabaian kepada prinsip kedaulatan negara dalam pentafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, melandaskan amalan Westminster secara membuta-tuli dan pemakaian prinsip kedaulatan di England secara bebas untuk mentafsirkan sistem demokrasi di Malaysia adalah bercanggah dengan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin prerogatif Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu.

Menurut beliau, sistem demokrasi berperlembagaan di Malaysia tidak mutlak serta tertakluk pada prinsip Kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Demokrasi berparlimen bukan prinsip kedaulatan negara kita. Prinsip kedaulatan negara secara nyata terpasak pada Jadual ke-IV iaitu sumpah Yang di-Pertuan Agong, Perkara 3(1) dan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Selagi tidak dibataskan oleh peruntukan Perlembagaan, Seri Paduka mempunyai prerogatif untuk menentukan bagaimana prinsip kedaulatan, iaitu Islam dan suatu pemerintahan yang adil dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Ahmad Fauzi yang juga pengasas Jurisprudens Watan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim semalam yang mempersoalkan sama ada perbincangan khas Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun ini sah di sisi undang-undang.

Dalam kenyataan pada 9 Jun lalu, Istana Negara menjelaskan, sesi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu itu adalah berkaitan dengan usaha memerangi jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh Darurat.

Wan Ahmad Fauzi menambah, Perlembagaan Persekutuan menetapkan prerogatif dan bidangkuasa Majlis Raja-raja begitu juga prerogatif dan bidangkuasa Yang di-Pertuan Agong.

Beliau memberitahu, prinsip Keluhuran Perlembagaan dijamin oleh Perkara 4 yang mengatasi nasihat eksekutif, membataskan kuasa perundangan Parlimen dan menetapkan prinsip pentadbiran keadilan.

“Untuk memahami apa yang dilakukan oleh Seri Paduka dan persetujuan Majlis Raja-raja untuk menghadiri perbincangan khas pada 16 Jun 2021, ada dua perkara pokok yang perlu difahami,” jelasnya.

Advertisements

Yang pertama, kata Wan Ahmad Fauzi, mesyuarat Majlis Raja-raja boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang jatuh di bawah bidang kuasanya.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja boleh dipanggil oleh Penyimpan Mohor Besar atas kuasa budi bicara Seri Paduka tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis Raja-raja untuk merundingi apa-apa perkara, termasuklah yang semata-mata berkaitan dengan keistimewaan, kedaulatan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja Melayu, atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.

“Dalam perkara-perkara yang menyentuh Perkara 38(4), Seri Paduka boleh memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja tanpa perlu mengikut nasihat Perdana Menteri kerana itu secara jelas terjumlah dalam perkara yang dijamin oleh Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Yang kedua, menurut beliau, dalam melaksanakan suatu perkara di bawah prerogatif dan bidangkuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka tidak tersyarat dengan prosiding mesyuarat Majlis Raja-raja.

“Seri Paduka mempunyai prerogatif untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-raja atau siapa sahaja demi memelihara kepatuhan pada sumpah berjawatan Yang di-Pertuan Agong, iaitu Islam dan bagi maksud pemerintahan yang adil.

“Selagi tiada peruntukan secara nyata dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membataskan tatacara pelaksanaannya, prinsip kedaulatan seperti terkandung dalam Jadual IV, Perkara 3(1) dan Perkara 181(1) adalah terpakai,” ujarnya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, perbincangan khas pada 16 Jun ini merupakan hasrat Seri Paduka untuk berunding dengan Raja-raja Melayu tentang perkara penting yang berada dalam kewajipan Seri Paduka di bawah Perlembagaan Persekutuan, bukan di bawah Perkara 38.

Sehubungan itu, kata beliau, prosiding yang menyentuh urusan di bawah Perkara 38 tidak berkaitan atau mengikat di sini.

“Apa yang hendak dilakukan oleh Seri Paduka pada 16 Jun adalah amalan syura yang bertepatan dengan intipati sumpah jawatan Seri Paduka.

“Justeru, tindakan Seri Paduka dan persetujuan Raja-raja yang telah memberi perkenan untuk mengadakan perbincangan khas perlu disanjung serta dilihat dari sudut kecaknaan baginda-baginda untuk memelihara kepentingan rakyat keseluruhannya tanpa dibatasi fahaman kepartian,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan