25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Perlu pendekatan luar biasa tangani situasi pandemik

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN

SUDAH lebih setahun sejak negara kita catat kes COVID-19 pertama. Dengan kelesuan pandemik kian memuncak, saya dapat lihat rakyat Malaysia semakin gelisah.

Ia mudah difahami – telah lebih 450 hari sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.

Saya selalu ingatkan diri saya – dalam kita terus mendepani salah satu saat paling sukar ini, kita tidak boleh biarkan emosi mengambil alih. Kekecewaan boleh membawa kepada tingkah laku yang tidak rasional.

Menulis pandangan ini sambil menjalani kuarantin di bilik saya, dan ketika negara sekali lagi dalam tempoh PKP – perasaannya sangat berbeza berbanding Mac tahun lalu.

Ketika itu, secara peribadi mahupun sebagai sebuah negara, kita langsung tiada pengetahuan tentang pandemik ini. Kita biarkan ketakutan terhadap perkara yang tidak diketahui serta ketidaktentuan menguasai kita.

Tetapi kemudiannya kita bangkit. Kita cepat menyesuaikan diri dan belajar bersama-sama negara lain yang turut hadapi ketidakpastian serupa. Saya masih ingat ketika itu – keutamaan kami di Kementerian Luar Negeri adalah membawa pulang rakyat Malaysia yang kita sayangi.

Kita tidak mahu biarkan mereka berdepan dengan keadaan yang penuh ketidakpastian di negara orang lain. Kita mahu mereka tempuhi pengalaman ini bersama-sama kita di tanah air – di rumah kita sendiri dan sebagai satu keluarga.

Daripada membawa pulang puluhan ribu rakyat Malaysia ke tanah air sehinggalah menumpukan usaha bagi mendapatkan keperluan asas termasuk pelitup separuh muka, ventilator dan katil hospital daripada rakan-rakan kita di seluruh dunia – saya boleh katakan bahawa bahagian tersebut telah dapat kita laksanakan dan kita mesti menumpukan kepada langkah seterusnya.

Malah, di sebalik pandemik COVID-19 serta pelbagai cabarannya, hubungan Malaysia dengan negara-negara lain di seluruh dunia juga semakin teguh dan erat.

Hari ini, selepas lebih 450 hari – kita mesti melihat kembali apa yang telah kita lakukan dan memikirkan kewajarannya. Perkara yang tidak kita ketahui tahun lalu bukan lagi misteri sepenuhnya.

Fokus kita sebelum ini adalah mencapai keseimbangan antara nyawa dan keperluan hidup yang mana inilah keutamaan usaha kita. Namun semakin hari, kita semakin hilang keseimbangan antara mengutamakan kesihatan awam dan kepentingan ekonomi.

pandemik
Pandemik COVID-19 telah meragut lebih 3,800 nyawa di Malaysia setakat ini. – Gambar hiasan: Facebook KKM

Dari sudut pemerhatian saya sebagai Menteri Luar Negeri – selepas banyak berkomunikasi dengan rakan sejawat, terutama berkongsi pengalaman dan amalan terbaik negara masing-masing, saya secara ikhlas ingin membuat tiga cadangan mudah mengenai perkara yang harus kita fokuskan demi membawa kita keluar dari ‘paradoks pandemik’ ini.

Pertama, mengenai Perintah Kawalan Pergerakan. Seperti yang telah kita lakukan sebelum ini, kita harus mencari titik persamaan dalam mengimbangi kepentingan melindungi serta menyelamatkan nyawa dan membuka sektor ekonomi bagi menampung keperluan hidup.

Dengan PKP sedang dilaksanakan, sepatutnya tiada lagi perubahan dan kita mesti konsisten dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada. Perubahan yang tidak perlu dan bersifat reaktif hanya akan merencatkan semua yang telah kita capai setakat ini.

Kedua, berkaitan program vaksinasi. Rakyat Malaysia pada awalnya yakin dengan pendekatan proaktif Kerajaan dalam menetapkan pemberian vaksin secara berfasa serta keberhasilan awal mendapatkan bekalan vaksin.

Tetapi kita mesti faham mengapa hari ini rakyat Malaysia menggesa pemberian vaksin dipercepatkan – bilangan kes harian yang meningkat telah menimbulkan ketakutan, kekecewaan dan keresahan.

Di sesetengah negara, kita telah lihat ketakutan ini semakin pudar setelah pemberian vaksin dipercepatkan. Di United Kingdom dan Amerika Syarikat misalnya, COVID-19 tidak lagi menimbulkan ketakutan yang sama seperti beberapa bulan yang lalu. Mereka kini telah melangkah ke hadapan dengan yakin dan positif.

Sebab itu, kita juga perlu mempertimbangkan secara serius untuk mempelbagaikan penggunaan jenis vaksin bagi meredakan kebimbangan rakyat. Setakat ini, Malaysia hanya meluluskan penggunaan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Sedangkan, banyak negara telah meluluskan vaksin lain dalam program vaksinasi mereka. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia. Pastinya mereka tidak salah.

Ya, saya faham pihak berkuasa berkaitan di negara kita perlu melakukan proses pengesahan dan penyiasatan secara teliti (due diligence). Tetapi dalam berdepan situasi tidak normal seperti hari ini, kita tidak boleh gunakan prosedur biasa.

Agensi-agensi kita mesti bergerak seiring dengan badan antarabangsa – pantas dalam menetapkan kelulusan kecemasan.

Banyak rakan Malaysia di seluruh dunia turut menawarkan bantuan tetapi di sinilah birokrasi menjadi penghalang utama. Tawaran bantuan ini seharusnya diterima dengan kesungguhan dan bukannya keengganan.

Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul. Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar Negeri.

Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa. Saya rasa ini bukan risiko yang wajar kita ambil.

Ketiga, kita perlu melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran. Ramai ahli politik dan pakar kesihatan turut suarakan pandangan yang sama.

Ujian saringan secara besar-besaran akan membolehkan kita menguji, mengenalpasti dan mengasingkan mereka yang positif dengan lebih cepat sekali gus mengupayakan kita mengurus wabak ini dengan lebih baik.

Namun untuk melaksanakannya, kita perlukan perancangan sama ada untuk meningkatkan kapasiti makmal, menambah kit ujian COVID-19 atau memberi subsidi kos untuk melakukan ujian saringan.

Melangkah ke hadapan, saya yakin kombinasi cadangan-cadangan ini dapat membawa transformasi terhadap strategi pengurusan COVID-19 kita. Pendekatan bersepadu untuk kesihatan awam amat diperlukan – PKP yang ketat, tumpuan terhadap usaha vaksinasi serta ujian saringan.

Hakikatnya, apabila lebih ramai dapat dikenal pasti lebih awal dan/atau sudah mendapat imunisasi, nyawa boleh dilindungi seterusnya angka kematian akan berkurang.

Transisi yang sistematik inilah matlamat akhir kita. Agar rakyat Malaysia dapat kembali menjalani kehidupan seharian secara normal.

Tetapi untuk merealisasikannya, ia perlukan pendekatan menyeluruh oleh kerajaan. Negara kita sering kali dapat diuruskan dengan baik sebelum ini. Salah satunya kerana institusi kita tidak berkompromi.

Tetapi sayangnya, sistem kita yang begitu ketat juga menyebabkan kita agak tidak fleksibel ketika saat-saat sukar seperti ini. Kita sedang berperang – ini krisis yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Keadaan luar biasa ini memerlukan penyelesaian yang juga luar biasa. Apa yang kita perlukan sekarang ialah ketangkasan dalam pemerintahan, agar kita cepat menyesuaikan diri serta pantas membuat keputusan.

Tragedi terbesar bagi Malaysia ialah jika kita tidak muhasabah kesilapan dan kelemahan. Kita mesti berusaha untuk tidak mengulanginya.

Sekiranya kita tidak berubah menjadi lebih baik, bagaimana kita akan berupaya menangani lebih banyak cabaran di era pasca pandemik ini?

Varian dan mutasi baru, masa depan pendidikan anak-anak kita, kesihatan mental dan nasib ekonomi kita.

Kita mungkin belum melihat situasi terburuk, tetapi kita tetap perlu berwaspada. Kita mesti bertekad untuk melakukan segala yang termampu dengan bekerjasama antara satu sama lain demi memerangi wabak ini.

  • Penulis ialah Menteri Luar. Artikel ini dipetik dari laman blog beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan