25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Operasi Pangea XVI: RM2.2 juta ubat tidak berdaftar dirampas

Mesti Baca

Turut kesan 2,600 laman sesawang jual ubat-ubatan ‘haram’

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas puluhan ribu unit ubat-ubatan yang tidak berdaftar bernilai lebih RM2.2 juta dalam Operasi Pangea XIV yang diadakan pada 18 hingga 25 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa yang sama pihaknya mengesan sebanyak 2,600 laman sesawang menjual produk farmaseutikal yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, jumlah rampasan itu hasil pemeriksaan ke atas pengiriman bungkusan, pemeriksaan di pintu-pintu masuk utama negara serta serbuan ke atas premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal.

“Operasi Pangea XIV juga menunjukkan penjual yang tidak bertanggungjawab terus menerus mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak COVID-19.

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan COVID-19, pelitup muka, thermometer, sarung tangan, gaun pembedahan, kit ujian untuk COVID-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan banyak dijual di dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini merupakan penyertaan kesembilan Malaysia dalam Operasi Pangea dan kali ini tumpuan diberikan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya termasuk peranti perubatan.

Pada tahun ini, tumpuan diberikan terhadap penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan COVID-19.

Operasi tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi lain seperti Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pos Malaysia, dan CyberSecurity Malaysia.

Noor Hisham berkata, dalam tempoh operasi tersebut sebanyak 972 bungkusan pos telah diperiksa dan merampas 157 bungkusan mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM108,352.

Advertisements

Selain produk perlindungan COVID-19, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama, katanya.

Beliau berkata, berbanding Operasi Pangea tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Manakala 18 peratus lagi adalah daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik.

“Selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM,” katanya.

Selain memantau dan menyiasat laman-laman sesawang, pihaknya juga membuat pemeriksaan di pintu masuk utama di seluruh negara dan merampas 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM 42,213.

Dalam operasi tersebut, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar turut diserbu.

Dalam serbuan tersebut, 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang bernilai RM2,071,855 telah dirampas untuk tindakan lanjut.

Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan