30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kes tipu jual beli kenderaan online meningkat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan sebanyak 461 kes penipuan jual beli kenderaan dalam talian sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, jumlah itu menunjukan peningkatan sebanyak 94.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 237 kes.

Menurut beliau, pada 2019, sebanyak 552 kes jual beli kenderaan yang tidak wujud telah dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM3,204,360.71.

“Jumlah ini telah meningkat kepada 678 kes bersamaan 22.8 peratus pada 2020 dengan jumlah kerugian sebanyak RM5,926,165.05,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Kamarudin memberitahu, siasatan mendapati modus operandi yang sering digunakan adalah dengan menawarkan harga kenderaan import terpakai yang kononnya dari Singapura, Thailand atau Langkawi.

Beliau menambah, suspek menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan di mana harga yang ditawarkan adalah lebih murah daripada harga pasaran semasa.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut kemudiannya akan diminta untuk memasukkan wang ke akaun keldai kononnya untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, cukai kastam dan sebagainya.

“Walau bagaimanapun, setelah wang dimasukkan, kereta yang dijanjikan tidak diterima,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Kamarudin berkata, polis menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum membuat pembelian kenderaan secara dalam talian.

Beliau turut berkongsi tips yang boleh digunakan seperti berikut:

  • membuat tinjauan dan semakan harga jualan semasa di pasaran kereta terpakai;
  • hadir secara fizikal ke alamat syarikat jualan kereta terpakai untuk meninjau dan melihat kereta itu sendiri selain berbincang dengan pemilik syarikat atau ejen penjual yang sah;
  • jangan mudah percaya dengan iklan jualan kereta terpakai yang menawarkan harga yang terlalu murah atau harga ‘istimewa’ atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan pihak berkuasa dan lain-lain alasan daripada pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannyal;
  • sentiasa simpan sebarang rekod perbualan dan transaksi pembayaran wang sebagai bukti;
  • memastikan urusan perjualan jual beli melalui kaedah yang diperakui agar tidak mudah menjadi mangsa; dan
  • membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan atau sebaliknya. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan