CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi jaminan akan memastikan penghuni di semua 500 pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang berdaftar di seluruh negara menjalani program vaksinasi secara mobil.
Memetik laporan BH Online, menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun menjelaskan, perkara itu penting untuk dilaksanakan memandangkan golongan OKU dan warga emas adalah kelompok yang perlu diberi perhatian penting dalam program vaksinasi negara.
Menurut beliau, KPWKM akan berusaha memastikan kumpulan itu terbabit dalam agenda vaksin negara walaupun berdepan kekurangan dan kekangan.
“Disebabkan itu kita mencadangkan pusat OKU ini dilakukan vaksinasi secara mobil supaya semuanya mampu bersama-sama kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19.
“Pelaksanaan itu sudah bermula di Lembah Klang dan akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pertama bagi OKU penglihatan di Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.
Rina memberitahu, pada masa ini, kementerian sudah menghantar lebih 470,000 nama pemegang status OKU kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Kita mempunyai lebih 500,000 OKU berdaftar dan kita berharap mereka ini mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin,” katanya.
Berhubung jumlah OKU tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menyukarkan bantuan pemberian vaksin, beliau menjelaskan, pihaknya sedang berusaha mencari semua golongan itu di seluruh negara dengan bantuan pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat.
“Kita juga ada sukarelawan yang akan mencari dan mendaftarkan mereka untuk mendapatkan suntikan kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan dan menjejaskan usaha sedang dilakukan kerajaan.
“Warga emas dan individu terlantar juga dikira sebagai OKU yang perlu didaftar untuk mendapatkan suntikan ini,” ujarnya.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook hari ini, Rina berkata, beliau telah memantau pemberian vaksin kepada seramai 200 OKU kategori penglihatan di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Kuala Lumpur.
“Pemberian vaksin ini merupakan kerjasama strategik di antara KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MAB, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan memastikan komuniti OKU tidak tercicir dan tiada yang ketinggalan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Sehingga 31 Mei 2021, seramai 195,395 OKU telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.
“KPWKM melalui JKM juga telah menyerahkan nama dan butiran asas seramai 446,000 OKU yang telah berdaftar menggunakan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) untuk PICK fasa ke-2 kepada Kementerian Kesihatan,” katanya. – EDISI 9