33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kerajaan pertimbang vaksin CanSino untuk pelarian

Mesti Baca

CYBERJAYA – Penggunaan vaksin CanSino sedang dipertimbangkan oleh kerajaan bagi golongan pelarian yang berada di Malaysia.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bagi mempermudahkan dan mempercepatkan program imunisasi di negara ini.

Menurut beliau, langkah berkenaan diambil berikutan kesukaran untuk mengenal pasti jumlah sebenar pelarian di negara ini.

“Vaksin CanSino yang akan diperoleh Julai nanti, hanya memerlukan satu dos. Jadi kita akan bagi mereka (pelarian) vaksin berkenaan,” katanya dalam sidang media secara maya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.

Sementara itu, Khairy memberitahu, arahan sudah dikeluarkan supaya semua penduduk di pedalaman atau individu yang tidak mempunyai dokumen lengkap terutamanya di Sabah dan Sarawak diberikan vaksin terlebih dahulu.

“Jika tiada dokumen tidak mengapa. Kita akan suruh mereka tuliskan dahulu segala butiran peribadi.

“Soal ketiadaan dokumen kita akan selesaikan kemudian, jadi kita catat dan rekod data mereka,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, sebanyak 98,166 permohonan daripada ibu hamil untuk vaksinasi diterima Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Menurut beliau, tarikh janji temu sedang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD) para pemohon berkenaan.

“Pada hujung minggu lepas, kita telah memberikan sebanyak 3,000 janji temu di Kuala Lumpur dan 224 di Perlis,” ujarnya.

CITF juga telah meluluskan sebanyak 5,621 permohonan untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara dalam masa terdekat dan mereka perlu mendapatkan suntikan vaksin mereka segera sebelum berlepas.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, Malaysia sedang dalam proses membangunkan vaksin COVID-19 melalui kerjasama dengan Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau menyatakan, vaksin berkenaan ialah jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) mula dibangunkan bermula November tahun lalu dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2 (COVID-19).

“Selepas ia selesai, kajian praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil akan dilaksanakan sebelum kajian klinikal terhadap manusia dilakukan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan