24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Langgar SOP, 150 tapak pembinaan diarah tutup

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 150 tapak pembinaan di seluruh negara diarah tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu, berikutan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memberitahu, sejak PKP 3.0 dilaksanakan, sebanyak 2,423 tapak pembinaan telah diperiksa oleh penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). 

‘’Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 446 (18%) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 1,977 (82%) tidak beroperasi. Daripada 446 itu, didapati 150 tapak pembinaan (34%) tidak mematuhi SOP, manakala 296 (66%) tapak lagi mematuhi SOP.

‘’Kesemua 150 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta merta. Bagaimanapun 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan,’’  kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian tersebut daripada 150 tapak pembinaan yang ditutup sebanyak 45 terletak di Sarawak, di Selangor (24 tapak pembinaan), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (4), Perlis (3) dan Kelantan (1).

Advertisements

‘’Manakala 11 yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP terletak di negeri Terengganu (4), Melaka (3), Johor (2), KL (1) & Kedah (1). Kementerian amat memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana ia satu perkara yang amat membimbangkan dan akan menjejaskan objektif PKP penuh ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Kenyataan kementerian itu juga memaklumkan, sejak PKP 3.0 bermula, CIDB telah mempergiatkan pemeriksaan di tapak pembinaan, dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 susulan peningkatan penularan kes positif di tapak pembinaan seluruh negara, khususnya di Lembah Klang. 

‘’KKR mahu semua kontraktor komited sepenuhnya dalam memikul tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan dan penempatan pekerja mereka mematuhi SOP termasuk memastikan semua pekerja menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan bebas dari jangkitan sebelum dibenarkan bekerja di tapak pembinaan,’’ kata kenyataan itu.

KKR juga mengingatkan penggiat industri pembinaan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP 3.0 atau berdepan dengan tindakan tegas oleh CIDB. 

‘’Selain mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor,’’ kata kenyataan tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan