27.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 27, 2022

111 pintu masuk dikawal ketat kekang kemasukan PATI

Mesti Baca

CYBERJAYA – Terdapat 111 pintu masuk negara yang aktif dan diwartakan di seluruh negara bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) selain memutuskan rantaian wabak Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata jumlah itu terdiri daripada 54 pintu masuk laut, 29 pintu masuk udara dan 28 pintu masuk darat.

“Apa yang mustahak sejak daripada Perintah Kawalan Pergerakan tahun lepas (di pintu masuk ini) ialah menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke dalam negara.

“(Mereka) boleh masuk tetapi perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kita nak periksa sebaiknya bagi memastikan apa sahaja kebenaran yang kita beri itu sah diperoleh oleh mereka,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Hamzah berkata warga asing yang melalui pintu masuk ini akan menjalani proses saringan Covid-19, mengimbas kod QR MySejahtera dan dibawa oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk menjalani proses kuarantin.

Baca juga:   KKM perlu buat keputusan pemakaian pelitup muka - Muhyiddin

Beliau berkata ini berbeza dengan pendatang tanpa izin yang cuba memasuki negara ini melalui lorong tikus yang ada kerana mereka akan dihalau dan dihalang daripada memasuki Malaysia.

“(Mereka) yang cuba masuk melalui lorong-lorong tikus ini kita halau mereka. Ini terbukti dengan (kejayaan) Op Benteng dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (dan lain-lain agensi terlibat sekaligus menyekat penularan wabak),” katanya.

Baca juga:   Hampir 8.7 juta rakyat lengkap dos kedua vaksin COVID-19

Hamzah juga berkata terdapat kelemahan yang dikenal pasti ketika beliau melakukan pemantauan di KLIA antaranya kemungkinan berlaku penipuan My Travel Pass.

“Masa atas pesawat, dia tunjuk bahawasanya dia ada My Travel Pass dan mempunyai kelulusan tetapi apabila sampai dan kita periksa, rupanya tiada… Kelemahan itu kita nak sekat (dengan menggunakan kod QR) untuk dipastikan sebelum dia naik kapal terbang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata satu lorong khas perlu diadakan bagi penumpang dari luar negara untuk terus ke pintu masuk untuk pemeriksaan imigresen.

“Ini bagi memastikan mereka yang turun daripada kapal terbang tidak bertembung dengan sesiapa pun di tempat-tempat tertentu (bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19). Ini semua kita akan cuba berikan penambahbaikan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Lawat ADNOC cari peluang kerjasama Petronas – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) bagi mencari peluang kerjasama antara...

Lagi Artikel Berkaitan