24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Tiada kompromi individu hina Agong, institusi diraja

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbuatan tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.

“Berikutan itu, pemilik akaun FB Iswardy Morni yang dipercayai mengeluarkan kenyataan yang mempersenda serta menghina Yang di-Pertuan Agong telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peruntukan Seksen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.

“Selain siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM juga sedang menyiasat individu tersebut bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, KDN meminta pihak PDRM untuk memantau serta mengambil tindakan yang lebih tegas dan pantas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti ini demi memastikan institusi diraja, kedaulatan undang- undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

Rakaman video yang menyiarkan kenyataan Iswardy menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja mula tular dalam media sosial termasuk Facebook semalam.

Advertisements

Ekoran rakaman video tersebut, ramai netizen menyuarakan perasaan tidak senang dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Iswardy.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Iswardy tidak mewakili pendirian parti.

Menurut beliau, Iswardy hanyalah seorang ahli biasa yang berdaftar PKR Cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan PKR Sarawak dan pusat.

“Ucapan beliau dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik PKR dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepada beliau.

“Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama,” jelasnya.

Fahmi memberitahu, oleh kerana isu video Iswardy kini telah menjadi kes siasatan PDRM, PKR akan menunggu hasil siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap beliau. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan