28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Tindakan tegas terhadap majikan paksa datang bekerja

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang degil dan enggan mematuhi arahan kerajaan yang menetapkan hanya 60 peratus sahaja yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menerima laporan dalam media sosial di mana pekerja swasta dipaksa oleh majikan untuk bekerja walaupun setelah arahan itu dikeluarkan.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melakukan pemantauan bagi memastikan arahan itu dipatuhi sepenuhnya.

“Saya juga berharap pekerja melapor segera sekiranya majikan mereka melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Tujuan pelaksanaan PKP ini adalah untuk mengurangkan pergerakan. Keluar hanya bila benar-benar perlu sahaja,” katanya dalam sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ismail memberitahu, dengan penutupan sektor ekonomi dan mengehadkan jumlah pekerja yang bergerak dari 15 juta kepada 1.5 juta sahaja dan dengan semua pihak patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, beliau yakin lengkuk jangkitan kes akan dapat dilandaikan.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap pihak swasta juga akan mematuhi arahan kerajaan agar semua pihal sama-sama menang dalam perang melawan COVID-19.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti sekitar Sabah mulai 1 hingga 14 Jun 2021.

Advertisements

Kawasan-kawasan tersebut adalah Kampung Tanjung Kapor, Kudat; Kampung Assam, Lahad Datu; Taman Pelangi, Semporna serta Kampung Payas-Payas dan Kampung Rampayan Laut di Kota Belud.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPD dilanjutkan di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra sehingga 14 Jun.

Ismail Sabri juga mengumumkan PKPD 16 lokaliti di Sungai Ruan dan tujuh lokaliti di Sempalit, Raub yang dijadualkan berakhir apda 4 Jun ditamatkan lebih awal esok.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, seramai 749 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 729 individu dikompaun manakala 18 lagi direman dan dua orang dijamin.

“Antara kesalahan yang direkodkan tidak memakai pelitup muka (180), tiada penjarakan fizikal (138), gagal merekod butiran diri/ daftar masuk premis (120), bawa penumpang berlebihan (55) dan lain-lain kesalahan (256),” katanya.

Ismail Sabri menambah, pasukan keselamatan telah merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

“Sebanyak 158 buah bot/ kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan