26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Suami isteri didakwa cederakan pelajar tahfiz

Mesti Baca

CYBERJAYA – Sepasang suami isteri yang menguruskan sebuah pusat tahfiz didakwa di dua Mahkamah Majistret Ampang Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang juga pelajar di pusat tahfiz itu, Mac lepas.

Norizan Yahaya, 52, warga tempatan dan suaminya Muhammad Yaqoob, 32, warganegara Pakistan, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar dan Normaizan Rahim.

Di hadapan Majistret Farah Nasihah, Norizan didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap mangsa yang berusia tujuh tahun di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak, Ampang di sini pada 6 petang antara 9 Mac hingga 23 April lepas, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah tidak menawarkan jaminan terhadap wanita itu, namun peguam Dony Abdullah yang mewakili Norizan memohon supaya jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit kencing manis, sakit sendi dan jantung selain perlu menanggung empat anak.

Mahkamah membenarkan Norizan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, selain mahkamah menetapkan18 Jun untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Majistret Normaizan, Muhammad Yaqoob didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa sama, menggunakan rotan pada tempat, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan jaminan dengan alasan Muhammad Yaqoob merupakan warga asing dan kesalahan yang dilakukannya adalah serius, namun peguam Dony memohon anak guamnya diberikan jaminan kerana dia mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan, melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan serta dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan tarikh sama (18 Jun) untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak.

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan