29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Panggilan percuma seluruh negara hari pertama Aidilfitri

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah bersepakat untuk menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, panggilan percuma itu boleh dinikmati mulai pukul 10 malam pada 12 Mei 2021 (Rabu) hingga pukul 10 pagi pada 13 Mei 2021 (Khamis) iaitu hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, inisiatif itu adalah sebagai tanda prihatin dengan keadaan rakyat Malaysia yang terpaksa berhari raya dalam suasana norma baharu tahun ini dan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kemudahan yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini dapat dinikmati semua pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo dan YTL.

“Setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

Advertisements

“Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Saifuddin berharap kemudahan itu sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia untuk terus saling berhubung dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga
tersayang serta rakan taulan, walaupun aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan di bawah PKP yang berkuat kuasa mulai 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dan rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dalam pematuhan PKP kali ini demi mengekang jangkitan COVID-19.

“Sama-sama kita berdoa agar lekuk pandemik ini dapat dilandaikan dengan pengorbanan dan usaha semua pihak.

“Insya-Allah kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dan kelangsungan hidup, untuk masa depan yang lebih baik,” ujarnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan