29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Neelofa disiasat lagi, pakai niqab tak pakai pelitup muka?

Mesti Baca

POLIS akan menjalankan siasatan terhadap selebriti Noor Neelofa Mohd Noor yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban, semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara itu.

“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang.

“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya, penjelasan berkenaan perkara itu telah dikeluarkan juga oleh KKM apabila kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam bermula 1 Ogos tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, satu siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Advertisements

“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.

Kehadiran selebriti berkenaan ke Kompleks Mahkamah di sini semalam menjadi kritikan netizen apabila selebriti itu kelihatan tidak memakai pelitup muka di sebalik niqab yang dikenakan.

Semalam, Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis atas pertuduhan gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) awal Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Neelofa, 32, gagal mematuhi SOP PKPB yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd atau menulis secara manual nama dan nombor telefon yang boleh dibaca sebelum memasuki premis itu.

Muhammad Haris, 26, juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan pertuduhan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Neelofa juga bakal berhadapan tindakan mahkamah selepas beliau dan keluarganya dikatakan melanggar SOP PKP apabila berkumpul beramai-ramai ketika 1 Syawal lalu.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan