34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mayat reput ditemukan terapung di perairan Kedah

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA KEDAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menyelamatkan mayat tanpa identiti, lengkap berpakaian dan hampir reput yang ditemukan terapung oleh nelayan tempatan di kedudukan 6.5 batu nautika barat Pulau Telor, Yan, Kedah pada pukul 10.30 pagi hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi yang memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

Terdahulu, pengadu menelefon talian kecemasan 999 berikutan keadaan mayat yang sedang mereput dan sukar untuk dialihkan tanpa sebarang peralatan yang sesuai.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Dawai untuk proses sanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Balai Polis Yan di talian 04- 4655222,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengingatkan orang awam dan komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Sementara itu di MIRI, Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot tunda membawa barge yang sarat dengan batu kerikil di perairan Miri, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, kejadian berlaku pada lebih kurang pukul 2.35 petang semalam, di mana sebuah bot tunda dan barge yang mencurigakan dikesan sedang bergerak di perairan Baram dan telah ditahan pada jarak lebih kurang 1.7 batu nautika barat laut Kuala Baram.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan barge tersebut telah gagal mengemukakan dokumen vesel dan dokumen pelepasan pelabuhan.

“Bot tunda dan barge tersebut dikendalikan tiga kru lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

“Kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

maritim malaysia
Bot tunda dan barge yang ditahan Maritim Malaysia di perairan berhampiri Miri, Sarawak. – Gambar: Maritim Malaysia

Md Fauzi memberitahu, bot tunda dan barge serta muatan batu kerikil 1,300 tan metrik itu diiring ke Kawasan Bersauh Baram untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967,” jelasnya.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan