26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Hamas-Zionis setuju gencatan senjata, AS terus pertahan Israel

Mesti Baca


PEJUANG Hamas dan Zionis Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata berkuat kuasa awal pagi Jumaat waktu tempatan, sekali gus berpotensi menamatkan pertempuran yang berlangsung selama 11 hari.

Perkara itu disahkan jurucakap Hamas dan Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis seperti dilapor Astro Awani.

Kenyataan pejabat Netanyahu berkata, Kabinetnya sebulat suara menerima saranan yang diusulkan Mesir untuk mengadakan gencatan senjata tanpa syarat.

Bagaimanapun, beberapa minit selepas pengumuman itu dibuat, kedua-dua belah pihak tetap meneruskan serangan dengan beberapa roket dilihat terus dilancarkan.

Seorang anggota Kabinet Israel mengatakan gencatan senjata itu akan berkuat kuasa jam 2 pagi Jumaat waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia), kira-kira tiga jam selepas pengumuman dibuat.

Di tengah desakan global yang semakin meningkat untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mendesak Netanyahu meredakan ketegangan sementara Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencari penyelesaian.

Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi sebelum ini mengarahkan dua delegasi keselamatan ke tanah haram Israel dan Wilayah Palestin untuk berusaha mengadakan gencatan senjata.

Setakat ini, perang sengit antara kedua-dua belah pihak yang bermula 10 Mei itu telah mengakibatkan 232 nyawa rakyat Palestin terkorban, termasuk 65 kanak-kanak.

Angka korban Zionis Israel pula disahkan setakat ini seramai 12 orang dengan ratusan cedera dalam serangan roket Hamas.

Pada Khamis, Biden membincangkan situasi Gaza bersama Presiden Mesir dan White House menyatakan laporan gerakan menuju gencatan senjata adalah positif.

Sementara itu agensi berita asing melaporkan, Biden memuji gencatan senjata antara Israel dan Palestin namun Presiden AS tersebut tetap menegaskan Israel memiliki hak untuk mempertahankan diri dari serangan-serangan Palestin.

Tidak cukup dengan itu Biden menyatakan sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome Israel akan dilengkapi dan disempurnakan selepas Iron Dome gagal menangkis banyak peluru berpandu pejuang-pejuang Hamas dari Jalur Gaza.

“Saya memberikan jaminan kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk memperbaiki sistem Iron Dome yang telah menyelamatkan banyak nyawa di Israel sama ada orang Yahudi mahupun Arab,” katanya.

Tujuan perbaikan sistem Iron Dome Israel ini, kata Biden, untuk menjamin dan memperkuat pertahanan dan keamanan Israel di masa mendatang. – Agensi

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan