30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Isyarat awal ketegasan Acryl Sani pelihara integriti PDRM

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara daripada Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika pasukan itu ‘masih bergelut konflik perang persepsi.

Abdul Hamid yang terkenal dengan pegawai polis berintegriti tinggi meninggalkan pesan kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas dan berintegriti.

Acryl Sani amat memahami isu utama yang membendung PDRM iaitu integriti, justeru 48 jam selepas dilantik mengetuai PDRM, beliau mengatur langkah pertama apabila menegaskan, akan mengeluarkan arahan menegah pegawai atau anggota polis membuat pemeriksaan ke atas warga asing secara rambang.

Tindakan Acryl Sani itu amat tepat sekali kerana perbuatan memeras ugut warga asing oleh segelintir anggota polis telah mencemarkan imej keseluruhan pasukan tersebut, justeru apa yang akan dilakukan oleh beliau akan mampu mengelakkan segelintir pegawai dan anggota polis menyalahgunakan kuasa mereka.

“Saya akan mengeluarkan arahan untuk dihentikan serta-merta perbuatan itu iaitu memeriksa mereka (warga asing) secara rambang tanpa alasan yang munasabah.

‘’Selain itu, polis juga tidak boleh menahan mereka sesuka hati untuk tujuan reman selama dua minggu atas alasan untuk mengesahkan sama ada mereka mempunyai pasport atau dokumen yang dicap Jabatan Imigresen adalah tulen atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, semalam.

Sudah pastilah arahan pertama ini akan memberi isyarat dan harapan kepada masyarakat bahawa PDRM akan diterajui oleh seorang lagi pegawai kanan polis yang meletakkan integriti sebagai penanda aras utama.

Advertisements

Langkah itu perlu dilakukan kerana persepsi orang ramai bila melihat anggota polis menahan warga asing di tepi jalan amat buruk sekali, itu belum lagi dengan pelbagai dakwaan bagaimana ada anggota pasukan itu memeras warga asing di rumah-rumah kongsi mereka.

Dan imej polis semakin terjejas apabila ada anggotanya dihadap ke mahkamah kerana memeras warga asing.

Adalah diharapkan lebih banyak lagi tindakan tegas akan dilakukan oleh Acryl Sani dalam mempertahankan dan meningkat imej PDRM dari segi integriti.

Lagi pula kita sudah bosan dengan pandangan serong sesetengah masyarakat terhadap pasukan apabila ada yang ‘buat perangai’.
Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana dalam PDRM terdapat puluhan ribu lagi pegawai dan anggota yang bertugas secara jujur, ikhlas serta penuh dedikasi. Oleh itu jangan biarkan mereka dipandang serong hanya kerana ‘’nila setitik rosak susu sebelanga.’’

‘Virus-virus’ yang boleh menjahanamkan PDRM harus dihapuskan sama sekali daripada pasukan tersebut. Tidak perlu ada kompromi dan tolak ansur.

Ia memandangkan puak seumpama ini adalah pengkhianat kepada pasukan khususnya kepada kawan-kawan sepasukan. Jangan biarkan PDRM diperlekeh kerana ‘virus’ tersebut.

Penulis yakin banyak lagi akan dilakukan oleh Acryl Sani dalam memelihara integriti PDRM. Apa yang penting semua pegawai dan anggota pasukan itu perlu memberi sokongan padu kepada beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tak dapat cukup pendidikan?

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA LAPORAN Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini sedikit memberi kesan...

Lagi Artikel Berkaitan