34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 26.9 peratus

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Nilai eksport minyak sawit negara meningkat sebanyak 26.9 peratus iaitu RM17.12 bilion untuk tempoh Januari hingga April 2021 berbanding RM13.49 bilion dalam tempoh sama pada tahun 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah kenaikan harganya dan lelemak saingan yang lain di pasaran dunia.

“Dengan prestasi ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai dengan sokongan program-program baharu KPPK.

“Iaitu inisiatif tambahan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM20 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang memanfaatkan 65 Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) dan geran padanan RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi serta automasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, program-program berkenaan akan meningkatkan pembelian jentera dan amalan mekanisasi dalam industri komoditi itu.

Mohd Khairuddin menambah, ia disokong dengan penglibatan KPSM secara aktif dan dijangka menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada semua pengusaha sawit termasuk pekebun kecil di seluruh negara.

Beliau memberitahu, industri minyak sawit Malaysia merupakan sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pada 2020, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6 peratus.

“Malaysia juga menyumbang sebanyak 26 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia dan 34 peratus kepada jumlah eksport minyak sawit dunia pada tahun 2020,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, cabaran pandemik COVID-19 dijangka berterusan sepanjang tahun ini.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, KPPK akan terus gigih mendepaninya dalam usaha membangunkan industri agrikomoditi yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar.

“Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan