24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

ASTAKA umum tarik diri keluar gabungan PSM

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KOTA KINABALU – Penyingkiran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) pada 20 Mei lalu telah mencetuskan kemelut baharu dalam sukan itu di negara ini.

Hari ini, Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA) mengumumkan keputusan menarik diri sebagai ahli gabungan badan induk sukan sepak takraw negara itu.

Menurut Presidennya, Datuk Awang Sham Amit, keputusan menarik diri secara serta-merta itu berkuatkuasa mulai 22 Mei lalu, hari yang sama Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif ASTAKA diadakan.

“ASTAKA menyokong usaha penubuhan persatuan badan induk negara yang baru bagi mempastikan kelangsungan sukan sepak takraw terus maju ke hadapan.

“ASTAKA dengan setulus hati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PSM serta barisan kepimpinannya atas segala usaha dan bakti yang telah ditaburkan kepada sukan sepak takraw negara sepanjang penubuhannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, isu penyingkiran PSM dari ASTAF dikhuatiri boleh menjejaskan sukan sepak takraw negara pada masa akan datang.

Sebelum ini, tiga ahli gabungan iaitu Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) telah menarik diri dari PSM.

Advertisements

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ASTAF, Yogender Singh Dahiya dalam satu kenyataan pada 20 Mei lalu berkata, keputusan penyingkiran PSM dicapai selepas sesi pendengaran yang dijalankan secara maya.

Sesi pendengaran tersebut turut melibatkan wakil India, Indonesia, Iran, Jepun, Malaysia, Pakistan dan Thailand susulan pertuduhan yang dikenakan ke atas PSM.

Dalam sesi pendengaran itu, PSM didapati bersalah susulan tindakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

Jawatankuasa Disiplin ASTAF melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Pasukan pendakwaan ASTAF diketuai John Vijayan Vasavan.

Seramai tiga orang saksi dipanggil bagi memberi keterangan dengan tiada wakil PSM menghadirinya.

Walau bagaimanapun, PSM diberi tempoh 14 hari bagi mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan itu dan sekiranya gagal melakukannya, badan induk berkenaan dianggap bersalah dan akan disingkirkan serta-merta. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan