25.7 C
Kuala Lumpur
Monday, June 17, 2024

Malaysia muncul Raja Sepak Takraw Dunia yang baharu!

Mesti Baca

MALAYSIA muncul sebagai Raja Sepak Takraw Dunia yang baharu selepas merobohkan tembok penguasaan Thailand dengan menyapu kejuaraan beregu dan regu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam ini.

Dengan sokongan ribuan penyokong, skuad kebangsaan bagaikan ‘naik hantu’ apabila menjinakkan musuh tradisi Thailand untuk kedua-dua kategori itu dengan ‘straight-set’.

Pesta Malaysia bermula apabila gandingan Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin mengejutkan duo-Thailand, Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut 17-16 dan 15-13 dalam perlawanan akhir kategori beregu (double).

Ini merupakan kali pertama Malaysia merangkul kejuaraan dalam kategori tersebut sejak diperkenalkan dalam kejohanan itu.

Ternyata sorakan padu para penyokong yang memenuhi stadium menaikkan semangat Aidil Aiman dan Noriazat untuk beraksi dengan penuh keyakinan pada set pertama.

Sebaliknya, Seksan dan Kittiphum agak goyang dengan beberapa servis tidak melepasi jaring menyaksikan mereka ketinggalan terutama pada tujuh mata pertama.

Bagaimanapun, beregu Thailand bangkit mengejar dan menyamakan kedudukan 14-14 sebelum Aidil Aiman dan Noraizat mengesahkan kemenangan set pertama dengan 17-16.

Set kedua menyaksikan gandingan negara mengekalkan momentum cemerlang dan menamatkan penguasaan Thailand dalam acara itu dengan kemenangan 15-13.

Advertisements

Kecemerlangan skuad kebangsaan berterusan dalam acara regu apabila trio Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) menjinakkan regu Thailand dengan mata 15-8, 15-12.

Thailand yang menampilkan regu berpengalaman iaitu Sittipong Khamchan (tekong), Varayut Jantarasena (perejam) dan Poramet Siriswat (pengumpan) bagai terkesima dengan aksi kemas regu negara.

Trio utama negara itu membuktikannya dengan aksi kemas terutamanya menerusi variasi servis menarik dijelmakan oleh Syahir serta rejaman berbisa Azlan.

Keadaan yang membuatkan Thailand berdepan masalah manakala Sittipong juga kelihatan bergelut untuk mendapatkan mata menerusi servis.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh pemain skuad negara untuk memenangi set pertama dengan kutipan mata 15-8.

Momentum cemerlang anak buah Ahmad Jais Baharun diteruskan pada set kedua untuk memastikan pesta Malaysia berterusan dengan kemenangan mutlak 15-12.

Ia merupakan kali pertama Malaysia berjaya menundukkan Thailand dalam acara tersebut setelah kali terakhir pada perlawanan akhir acara regu dalam Siri Super Istaf Malaysia 2015 di Melaka. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Rakyat marah bukan penyelarasan subsidi tapi soal janji

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, kemarahan rakyat kepada kerajaan hari ini bukan kerana melaksanakan penyasaran subsidi...

Lagi Artikel Berkaitan