31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PSM badan induk sukan sepak takraw yang sah

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih kekal sebagai sebuah badan induk sukan sepak takraw yang sah berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) setakat ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) ekoran keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungannya pada 20 Mei lalu.

Menurut PJS, ketetapan serupa turut terpakai terhadap 17 badan gabungan PSM yang terdiri daripada persatuan sepak takraw negeri yang masih aktif dan giat menggerakkan sukan berkenaan di Malaysia.

“Selaku badan kawal selia pembangunan sukan di negara ini, PJS akan terus memantau rapat dan memberi perhatian yang serius dalam perkara ini.

“PJS akan mengadakan perbincangan bersama PSM dan ahli gabungan bagi mendapatkan maklumat perkembangan semasa yang terkini dan memberi panduan nasihat atas kepentingan pembangunan sukan sepak takraw di Malaysia.

“Apa yang lebih penting adalah untuk memastikan pembangunan sukan sepak takraw yang menjadi antara identiti sukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“PJS amat berharap agar satu penyelesaian yang tuntas dapat dicapai demi pembangunan sukan sepak takraw di Malaysia,” kata PJS dalam kenyataan media, hari ini.

Pada masa yang sama, PJS menyatakan pihaknya menghormati keputusan ASTAF untuk menyingkirkan PSM.

PJS juga berharap PSM akan mengambil ruang yang disediakan ASTAF untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari serta mengambil langkah-langkah susulan serta tindakan yang selaras dengan Perlembagaan ASTAF dan PSM.

“PJS juga berpandangan bahawa Majlis Tertinggi PSM dan ahli-ahli gabungan PSM boleh berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dan menentukan hala tuju PSM atas kepentingan pembangunan sepak takraw negara,” jelasnya.

Setakat ini, Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA) mengumumkan keputusan menarik diri sebagai ahli gabungan badan induk sukan sepak takraw negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ASTAF, Yogender Singh Dahiya dalam satu kenyataan pada 20 Mei lalu berkata, keputusan penyingkiran PSM dicapai selepas sesi pendengaran yang dijalankan secara maya.

PSM diberi tempoh 14 hari bagi mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan itu dan sekiranya gagal melakukannya, badan induk berkenaan dianggap bersalah dan akan disingkirkan serta-merta. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan