28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

44 kematian COVID-19, tertinggi sejak pandemik melanda

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 44 kematian akibat COVID-19 dicatatkan di seluruh negara hari ini, sekali gus mencatatkan angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 43 kematian akibat COVID-19 melibatkan rakyat tempatan manakala seorang lagi warga asing.

“Terdapat 44 kes kematian COVID-19 pada hari ini yang melibatkan 26 kes di Selangor, lima kes di Kelantan, empat kes di Sarawak, masing-masing tiga kes di Kedah dan Johor, dua kes di Kuala Lumpur serta satu kes di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Secara keseluruhan, seramai 1,866 orang meninggal dunia akibat COVID-19 di Malaysia setakat ini.

Selain itu, sebanyak 4,140 kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan kes keseluruhan COVID-19 berjumlah 466,330.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,131 kes merupakan kes tempatan manakala baki sembilan kes adalah kes import.

Sebanyak 42,135 kes masih aktif serta 272 kes memerlukan bantuan pernafasan manakala 503 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sebanyak 15 kluster baharu dikesan hari ini dan secara keseluruhan, 1,876 kluster direkodkan.

Sejumlah 466 kluster masih aktif manakala 1,410 kluster telah tamat.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, pelbagai langkah kesiapsagaan berikutan pertambahan bilangan kes COVID-19 di Malaysia telah dilaksanakan.

“Ini termasuklah menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR, penyumberluaran ujian saringan COVID-19 ke makmal swasta, penggunaan ujian RTK-Ag sebagai ujian saringan COVID-19 bagi mengesan wabak COVID-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar dan pengujian saringan menggunakan air liur yang lebih mudah dan cepat serta boleh dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan individu yang bergejala dan dari kawasan berisiko tinggi, dinasihatkan membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Bagi mereka yang telah menjalani ujian pengesanan COVID-19, apabila telah menerima keputusan, mereka boleh memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera iaitu self-notification.

“Individu yang telah diambil sampel perlu menjalankan pengasingan kendiri sehingga keputusan ujian saringan didapati negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah, semua makmal yang menjalankan ujian SARS-CoV-2 samada makmal kerajaan atau swasta dikehendaki memasukkan data keputusan ujian sampel (sama ada negatif ataupun positif) ke dalam sistem SIMKA.

Beliau berkata, setiap pemohon (PKD atau Klinik Kesihatan) akan mengakses keputusan makmal ini secara dalam talian manakala keputusan dari makmal swasta juga akan dimaklumkan dengan segera kepada Kementerian Kesihatan melalui saluran sedia ada.

“Tempoh masa PKP ini merupakan suatu tempoh yang sangat genting bagi kita untuk bersama-sama melandaikan keluk jangkitan COVID-19 di negara kita.

“Peningkatan kapasiti hospital dan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti memerlukan tindakan kesihatan awam yang efektif serta kerjasama semua lapisan masyarakat bagi memastikan usaha yang telah kita laksanakan selama ini membuahkan hasil,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa sebanyak 8,573,873 ujian saringan COVID-19 telah dijalankan sejak 1 Januari 2021 sehingga 13 Mei 2021.

Ini merangkumi sebanyak 4,747,837 ujian real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan 3,826,036 ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) termasuk saringan PERKESO dan bukan PERKESO.

Purata jumlah ujian saringan yang telah dijalankan secara mingguan adalah sebanyak 63,925 sampel (dari Minggu Epid (ME) ke-15 hingga ME ke-18), manakala jumlah ujian dari ME ke-11 hingga ME ke-14 adalah sebanyak 483,518 sampel.

Terdapat peningkatan jumlah saringan yang telah dijalankan berbanding bulan sebelumnya iaitu sebanyak 369,456 sampel (23.6 peratus). – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan