AKHBAR Utusan Malaysia pada 31 Mac 2021 telah menyiarkan kenyataan respons penulis mengenai bahayanya penanam sayur warga asing yang semakin berleluasa dan berpotensi menjadi ‘kartel’ sehingga boleh menggugat ekonomi negara.
Kenyataan penulis yang disiarkan di bawah tajuk Tauke Sayur Warga Asing Berpotensi Menjadi Kartel’ mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju dan ada pula mempersoalkan bagaimana ia berlaku.
Bagi yang bersetuju, mereka hairan bagaimana penguatkuasaan undang-undang imigran kita begitu lemah. Manakala yang tidak bersetuju dengan pendedahan tersebut pula menyalahkan sikap rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sendiri sebagai faktor utama kemaraan bangla sebagai tauke sayur.
Apa pun pendapat mereka, penulis menganggap masyarakat kita dari pelbagai peringkat masih mempunyai sifat retorik lebih suka berpolemik daripada menyelesaikan masalah. Melontarkan pelbagai pandangan semata-mata tanpa masuk ke gelanggang untuk bertarung menyelesaikan masalah.
Penulis sudah melihat kepentingan pertanian dan perladangan sebagai jaminan keselamatan negara secara serius sejak 15 tahun lalu. Jika ditambah dengan asas pembentukan keluarga penulis, Allahyarham bapa penulis, Haji Abdul Malek Kulub Aji telah mendidik penulis tentang wawasan pertanian dan perladangan secara serius sejak penulis 10 tahun lagi (pengalaman kini sudah 39 tahun).
Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, sektor pertanian moden mula diberi perhatian tetapi usaha menyambutnya sebagai industri bertaraf dunia agak hambar disebabkan jentera kerajaan yang masih dalam kerangka kerja lama.
Masyarakat pula masih manja dengan makanan import dan menyanjung kerajinan warga asing yang mereka tidak sedar akan menjadi kuasa kartel suatu hari nanti.
Apakah benar tohmahan bahawa rakyat tempatan khususnya Bumiputera tidak berminat dengan sektor pertanian dan perladangan? Jawapan bagi persoalan di atas sepatutnya kita sambut dengan mempertingkatkan penyertaan rakyat tempatan secara efektif dan berkualiti.
Kita juga wajib menjawab persoalan itu dengan gerak kerja bagi membolehkan generasi masa depan menjayakan pertanian negara yang mencukupi untuk keperluan dalam negara dan pada masa sama mampu mengeksport makanan dan kepakaran ke luar negara.
Apakah penulis juga beretorik? Jawapannya tidak! Ini kerana penulis sudah dan terus konsisten menjayakan pembangunan pertanian khususnya dalam kalangan generasi muda secara serius sejak hampir 20 tahun lalu, daripada program pendidikan pertanian peringkat sekolah hinggalah universiti, semuanya sedang bergerak secara konsisten sehingga hari ini.
Begitu juga program pembangunan usahawan tani yang telah berjaya melahirkan usahawan berwibawa dan sedang dikembangkan sebagai satu rangkaian bekalan (supply chain) yang sudah disusun sekarang.
Sepanjang hampir separuh abad menyertai sektor ini, penulis dapati usaha melahirkan golongan petani yang moden dan progresif perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.
Usaha ini agak terlambat jika kita mengasuh generasi muda selepas tamat sekolah (selepas SPM). Selain itu, persekitaran keluarga juga menjadikan mereka terbentuk dengan budaya pertanian pada masa depan.
Pendek kata, keberhasilan dan kemenjadian yang tinggi perlu dipupuk sejak usia kecil dan remaja bagi memastikan generasi muda mengisi tenaga kerja berkemahiran dan berpendidikan tinggi pada masa depan.
Inilah yang penulis lakukan sejak dulu melalui sistem pendidikan dan latihan formal dan bukan formal. Sistem pendidikan formal adalah melalui program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala non formal pula ialah program bersifat pendedahan seperti Anugerah Agro Remaja@Sekolah dan cabaran aktiviti lasak Agro-XRace sekolah-sekolah Malaysia serta macam-macam lagi.
Penulis pertama kalinya memperkenalkan SKM pertanian di sekolah harian pada tahun 2010 yang turut menjadi panduan kepada pelaksanaan Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA), Kementerian Pendidikan di sekolah menengah pada tahun 2015.
Adakah kini kita mampu memenuhi tenaga kerja pertanian dan perladangan tempatan? Pastinya tidak! Kenapa?
Ketika sektor perladangan memerlukan hampir 100,000 pekerja operasi ladang (penuai, pembaja dan meracun) yang biasanya dilakukan oleh pekerja asing, data Jabatan Pembangunan Kemahiran menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan graduan SKM dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan, perladangan dan perhutanan pada tahun lalu hanyalah sekitar 1200 orang dalam semua bidang tersebut.
Sedangkan estet sahaja memerlukan tidak kurang 100,000 orang pekerja.
Bayangkan betapa lemahnya angka tersebut!
Kita ada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pendidikan , Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia. Belum lagi termasuk beberapa agensi berkaitan.
Dengan kekuatan jentera yang ramai dan besar ini, mengapakah kita gagal melahirkan lebih ramai pekerja terlatih berkemahiran tinggi dan berpendidikan tinggi dalam sektor ini?
Jawapannya ialah:
- Kita acuh tak acuh.Tolak menolak,tunggu menunggu.
- Satu kerajaan tetapi berlainan aliran dan ego masing-masing.
- Takut untuk bersama golongan seperti penulis yang berpengalaman,serius dan konsisten bekerja.
- Masih dibelenggu red-tape berbanding penyelesaian yang bersifat mesra pelanggan.
- Politik berlebihan di kalangan orang politik dan berlaku juga politik jabatan di kalangan penjawat awam.
- Gagal melihat peranan swasta sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan negara.
Maka apakah kita hairan, 10 tahun lagi, kita akan ‘melalak’ perkara yang sama? Apakah akan berlaku ‘kartel bangla’ menguasai segalanya di Malaysia? Jawapannya ya jika kita terus beretorik.
Demi negara yang kita sayangi, sudah tiba masanya rakyat sendiri terutama golongan muda untuk bertegas membetulkan keadaan ini. Bangkit dengan semangat membujur lalu, melintang patah!.
Biarlah orang politik Malaysia terus bersengketa dengan perangai 3W parti masing-masing (perangai walak, warlord dan wallop) hingga menjadi lawak sindiran yang digelar WWW.MY Harap pembaca dapat meneka siapa yang berada di gelanggang gusti www.my ini.
Kelihatan pula jentera kerajaan umpama hilang arah. Mungkin terkesan dengan situasi politik yang ada. Pak Menteri dan timbalan yang turut lemas dengan gangguan sentimen politik (tidak stabil).
Maka kita sebagai rakyat, marilah kita sendiri menjaga rakyat dan membetulkannya sendiri dengan segala keupayaan dan kapasiti kita yang ada.
Meminjam kata-kata seorang sahabat penulis bernama Haji Naseron Ismail, “Walk The Talk’, No More NATO – No Action Talk Only. Kita tukar idealisme retorik kepada tindakan realistik.
- Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.