CUBAAN membawa masuk barangan pertanian dan produk haiwan bernilai RM5,870 secara tidak sah dari Thailand, Vietnam dan Indonesia tidak berjaya apabila dikesan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor dalam pemeriksaan Rabu lalu.
Maqis menerusi satu kenyataan berkata, produk buah limau, daging babi dan susu berkenaan telah dirampas daripada pelancong negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Kesemua produk seberat 787 kilogram (kg) itu didapati telah disembunyikan di dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai pemeriksa.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan pemeriksaan pegawai Maqis dengan kerjasama Kastam telah berjaya mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian yang dibawa tanpa sebarang dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran produk haiwan dan hasilan haiwan tanpa permit import Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran haiwan dan hasilan haiwan yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu. – Edisi 9