25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Acryl Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu mulai Selasa ini.

Timbalan Ketua Polis Negara itu akan menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menamatkan kontraknya pada 4 Mei.

Acryl Sani menerima surat pelantikan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu majlis di Putrajaya hari ini.

Siaran langsung majlis penyerahan surat lantikan tersebut turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setakat ini, belum diketahui siapa dalam kalangan pegawai kanan PDRM yang bakal dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan kedua tertinggi dalam pasukan itu.

Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Hamzah berkata, pelantikan Acryl Sani dilakukan melalui proses sewajarnya dan diputuskan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebelum mendapat persetujuan Perdana Menteri serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menambah, pelantikan Acryl Sani itu berkuat kuasa hingga 3 Oktober depan apabila tamat tempoh perkhidmatannya dalam PDRM.

Advertisements

Acryl Sani yang juga Ketua Polis Negara ke-13 dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau yang memiliki kelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam telah menyertai PDRM pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan.

Sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM, beliau telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Timbalan Ketua Polis Daerah, Komandan Maktab PDRM, Ketua Polis Terengganu dan Perak serta Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Acryl Sani juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah serta memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan.

Seterusnya, beliau dilantik menjadi Pengarah beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos 2020. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan