31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Wisma Putra arah diplomat Korea Utara tinggalkan Malaysia

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Semua kakitangan diplomatik Kedutaan Besar Korea Utara di Kuala Lumpur diminta meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini, kata Wisma Putra.

Wisma Putra dalam kenyataan media hari ini berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan keputusan kerajaan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini.

“Pada masa yang sama, kerajaan akan mengeluarkan arahan meminta semua kakitangan diplomatik dan keluarga mereka di Kedutaan Besar Korea Utara di Kuala Lumpur untuk meninggalkan Malaysia dalam masa 24 jam daripada hari ini,” jelas kenyataan itu.

Pada masa yang sama, Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya digantung sejak 2017 ditutup mulai hari ini.

Jelas Wisma Putra, Malaysia berhak bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara bagi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara.

“Malaysia percaya, pendirian kita dalam perkembangan yang dikesali ini akan dihargai dan difahami sepenuhnya oleh rakan-rakan dan sekutu-sekutu yang komited terhadap prinsip keadilan, keluhuran undang-undang dan kemakmuran bersama antara pelbagai negara,” ujar kenyataan tersebut.

Korea Utara memutuskan hubungan dengan negara ini ekoran keputusan mahkamah di Malaysia kelmarin yang membenarkan seorang lelaki warga Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk berdepan tuduhan pengubahan wang haram.

“Malaysia telah melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan dengan menghantar seorang warga Korea Utara ke AS.

“Kementerian Luar Korea Utara dengan ini mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan sepenuhnya,” jelas kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

Negara komunis tersebut turut menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan agresif terhadap Pyongyang yang dilakukan setelah menerima tekanan AS.

Wisma Putra menegaskan, sebagai sebuah negara yang mempertahankan prinsip keadilan, keluhuran undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, Malaysia telah memastikan ekstradisi warga Korea Utara, Mun Chol Myong dilakukan mengikut prinsip-prinsip tersebut.

Kementerian Luar menambah, kerajaan Malaysia juga terpaksa mengetepikan desakan kerajaan Korea Utara agar badan eksekutif Malaysia campur tangan dalam sistem kehakiman dan perundangan negara.

Advertisements

“Ekstradisi hanya dilakukan setelah semua ruang bagi proses perundangan yang wajar telah digunakan.

“Hak-hak Chol Myong semasa ditahan di Malaysia juga dijamin dan dipenuhi, termasuk akses kepada peguam bela sendiri selain bantuan konsular dan lawatan oleh keluarganya,” jelasnya.

Chol Myong ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 ekoran waran tangkap yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram dan melanggarkan sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Perbuatan tersebut juga merupakan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Beliau dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019 di mana mahkamah membenarkan prosiding komital terhadapnya.

Permohonannya untuk mendapatkan perintah habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2019 dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2020 telah ditolak kerana mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas serta gagal memenuhi peruntukan di bawah Akta Ekstradisi.

Wisma Putra turut menyuarakan kekesalan terhadap keputusan yang dibuat oleh Korea Utara itu sambil menyifatkannya sebagai tidak mesra dan tidak konstruktif, tidak menghormati semangat saling menghormati dan hubungan yang baik dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

“Malaysia sentiasa menganggap Korea Utara sebagai rakan rapat sejak hubungan diplomatik dijalinkan mulai 1973.

“Malaysia merupakan antara negara terawal yang berbuat demikian dan sentiasa menyokong Korea Utara ketika negara itu berdepan detik-detik sukar,” tambah kenyataan itu.

Jelas Wisma Putra, Malaysia juga tetap berusaha memperkukuhkan hubungan dengan Korea Utara walaupun selepas pembunuhan Kim Jong-nam pada 2017.

“Dalam hal ini, tindakan unilateral Korea Utara adalah tidak wajar dan menghalang usaha mengalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau kita,” kata kenyataan tersebut.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan