28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tiada sebab projek solar Sultan Ibrahim tidak diluluskan – Najib

Mesti Baca

CYBERJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada sebab kerajaan Persekutuan tidak meluluskan projek Taman Solar Sultan Ibrahim di Pengerang, Johor jika projek itu menggunakan dana swasta dan di atas tanah milik swasta dan kerajaan negeri.

Sehubungan dengan itu, bekas Perdana Menteri itu mahukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi penjelasan umum kenapa Putrajaya tidak memberi maklum balas atau kelulusan berhubung projek bernilai RM1.4 bilion tesebut.

Beliau berkata, tindakan kerajaan Persekutuan itu boleh menyebabkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka manakala rakyat negeri itu merasakan mereka dipinggirkan oleh Pusat.

“Kerajaan PN perlu menjelaskan secara umum kenapa tidak memberi maklum balas atau kelulusan bagi projek ini agar DYMM Sultan Johor tidak murka dan rakyat Johor tidak rasa dipinggirkan kerajaan pusat.

“Tiada sebab kenapa projek di Pengerang ini tidak diluluskan sekiranya projek ini menggunakan dana swasta dan dibina di atas tanah swasta atau kerajaan negeri,” katanya hari ini.

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR – Sumber: FB The Royal Johor

Edisi 9 semalam melaporkan Sultan Ibrahim kelihatan murka apabila projek taman solar di Pengerang bernilai RM1.4 bilion ditangguhkan berikutan tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan Persekutuan.

Advertisements

Majlis pecah tanah Taman Solar Sultan Ibrahim yang sepatutnya diadakan pada 23 Mac ini terpaksa dibatalkan kerana masalah tersebut.

“Saya nampak tidak ada alasan mengapa Kerajaan Persekutuan tidak boleh berikan peluang kepada negeri Johor untuk menjadi pengeluar tenaga elektrik yang mesra alam ini.

“Kita ada kawasan tanah yang sesuai, pembangunan yang pesat di negeri ini dan permintaan daripada negara jiran, menjadikan Johor sebagai lokasi yang paling strategik,” titah Sultan Ibrahim seperti dipetik dari Facebook The Royal Johor.

Taman Solar Sultan Ibrahim itu akan menjadi yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara dengan kapasiti 450 megawatt (MW).

Sebelum ini Sultan Ibrahim bertitah, projek ini merupakan pelaburan swasta berskala besar pertama diperolehi oleh negeri Johor bagi tahun 2021 atas usaha baginda yang sentiasa mengalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat dan negeri itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan