31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Selangor larang guna kalimah Allah dalam Bible

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di Selangor.

Sultan Sharafuddin mengulangi pendirian baginda bahawa kalimah Allah adalah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Baginda bertitah, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Namun demikian sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’, Beta tiada halangan atas penggunaan perkataan ‘Tuhan’ tersebut,” titah baginda dalam kenyataan media, hari ini.

Sultan Sharifuddin bertitah, penegasan baginda itu adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010.

Titah baginda, keputusan mahkamah itu menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Beta juga menitahkan agar rakyat beta yang bukan beragama Islam di negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988.

“Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan,” titah baginda.

Advertisements

Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, Sultan Sharafuddin tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah kerana memelihara kesucian kalimah Allah adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab baginda seperti mana firman Alah SWT dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah yang bermaksud: ‘Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?’

“Apa gunanya beta menjadi Ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negeri Selangor ini.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah baginda.

Baginda juga berkesempatan membaca titah yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam,” titah baginda.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Hakim Nor Bee Ariffin yang membuat keputusan itu bagaimanapun berkata, ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan