CYBERJAYA – Setelah terlanjur mengecam Harian Metro dan wartawannya sebagai sampah, seorang jurutera kanan di Projek Lintasan Sungai Besi – Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) tampil meminta maaf secara terbuka.
Beliau membuat kecaman melulu itu ketika berkongsi ciapan Twitter Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin berhubung tindakan Harian Metro meminta maaf ekoran laporan tentang kematian seorang jururawat Hospital Pulau Pinang yang meninggal dunia, baru-baru ini.
“Well done @Khairykj .. Wartawan & akhbar sampah mcm ni wajar diajar!!” katanya dalam ciapan tersebut.
Ciapan berkenaan seterusnya tular dalam kalangan pengamal media di negara ini dan ramai yang menyuarakan kekesalan atas sikapnya yang tidak menghormati sensitiviti pihak lain.
Semakin ramai pengamal media tempatan yang berkongsi ciapan jurutera kanan Prolintas terbabit setelah berlaku insiden komponen kren terjatuh di tapak projek Lebuh Raya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Alam Damai, pagi semalam.
Untuk makluman, Prolintas adalah syarikat pemaju projek SUKE manakala jurutera kanan terbabit merupakan pegawai yang bertanggungjawab terhadap projek berkenaan.
Akhirnya, beliau tampil meminta maaf secara terbuka melalui ciapan Twitter hari ini.
“Kepada rakan2 Editor & wartawan yg tersinggung dgn tweet yg dibuat, saya dgn rendah diri memohon maaf & kesal perkara yang berlaku.
“Ianya berlaku atas kelemahan saya sendiri,” katanya.
Mungkin pengamal media termasuk para wartawan dan editor Harian Metro boleh memaafkan keterlanjuran jurutera kanan berkenaan menggelarkan mereka sebagai sampah.
Namun, orang ramai mula menyuarakan kebimbangan tentang tahap keselamatan di tapak projek SUKE setelah berlaku tiga insiden objek terjatuh dalam masa tujuh bulan lalu.
Insiden semalam telah menyebabkan tiga pekerja projek berkenaan maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera parah.
Terdahulu, pada 4 Mac lalu, dua wanita berusia 40-an disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan jambatan SUKE berhampiran Desa Tun Razak menghala ke Ampang.
Kedua-dua mereka terperangkap di dalam van kilang yang dihempap runtuhan struktur binaan lebuh raya tersebut bersama tiga mangsa yang lain.
Sebelum itu, pada 19 September lalu, seorang wanita berhadapan detik cemas apabila kereta yang dipandunya ditimpa batu konkrit dipercayai dari projek pembinaan SUKE).
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Lingkatan Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang menyebabkan wanita terbabit cedera pada bahagian tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan.
Susulan kejadian tersebut, kontraktor utama dan subkontraktor projek SUKE dikenakan denda sebanyak RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak binaan lebuh raya itu. – EDISI 9