24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tubuh badan khas siasat insiden projek SUKE

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pemuda UMNO Bahagian Tun Razak menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden komponen kren jatuh di tapak projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Alam Damai, semalam.

Ketuanya, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri berkata, satu badan khas perlu diwujudkan bagi menjalankan siasatan selepas dua insiden serupa berlaku di tapak projek SUKE sebelum ini.

“Saya amat bimbang dengan kekerapan tragedi yang berlaku di laluan itu yang telah meragut beberapa nyawa.

“Adakah semua kejadian itu disebabkan oleh masalah teknikal atau kelalaian pihak kontraktor pemaju?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Projek SUKE
Ashrul Ashryzad Mohd Nashri membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, malam tadi.

Beliau mewakili Pemuda UMNO Bahagian Tun Razak membuat laporan berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Salak Selatan, malam tadi.

Ashrul Ashryzad menambah, sebagai pemaju sebuah projek pembinaan yang besar dan penting, aspek keselamatan tidak seharusnya dikompromi dalam apa juga keadaan.

Beliau menegaskan, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan kerja-kerja pembinaan di bahagian atas jalan raya yang menjadi laluan utama pengguna kenderaan.

“Sepatutnya pemaju mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menutup atau melencongkan laluan buat sementara waktu ketika kerja-kerja kritikal atau berbahaya sedang dibuat supaya tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya di bawah itu,” jelasnya.

Advertisements

Sehubungan itu, Ashrul Ashryzad menggesa pemaju menghentikan kerja-kerja pembinaan di sektor terlibat tragedi yang meragut nyawa sehingga dipastikan keselamatan terjamin sepenuhnya.

Menurut beliau, orang ramai yang menggunakan laluan tersebut setiap hari pasti dibelenggu perasaan bimbang berikutan risiko insiden serupa berulang pada masa akan datang.

UMNO

Semalam, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan sebarang aktiviti kerja di tapak projek SUKE Pakej CA3.

Arahan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap insiden kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi semalam yang menyebabkan tiga mangsa maut dan dua orang lagi cedera.

Menurut beliau, kementerian telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat daripada JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi menjalankan siasatan komprehensif untuk mengenal pasti punca kejadian serta menentukan sama ada terdapat perlanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlaku kemalangan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan