25.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Faiz Fadzil nafi tuduhan raba aktivis wanita PKR

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN), Muhammad Faiz Fadzil menafikan beliau melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang juga aktivis PKR.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu mengesahkan beliau telah dipanggil untuk satu siasatan polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan polis terhadapnya.

Beliau menyatakan telah memberi kerjasama kepada polis dan akan terus berbuat demikian bagi membantu proses siasatan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut.

“Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Muhammad Faiz juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan namanya.

“Saya akan meneruskan tugas saya sebagai ADUN seperti biasa dan akan terus berjuang untuk menegakkan demokrasi dan keadilan sosial,” jelasnya.

Hari ini, beberapa portal melaporkan tentang laporan polis yang dibuat oleh seorang aktivis PKR mendakwa seorang ahli politik pembangkang meraba tubuhnya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan di dalam kereta ahli politik itu.

Pengadu berkata, pada mulanya dia bertemu dengan ahli politik itu pada Januari, dan kemudian bertemu kali kedua selepas bersetuju untuk makan malam pada hari kelahirannya.

Wanita itu berkata, dia bersetuju untuk makan malam bersama kerana ‘berbesar hati’ kerana dibelanja ahli politik tersebut.

Walau bagaimanapun, dia mendakwa lelaki itu cuba memeluk dan merabanya di dalam kereta ketika menuju ke sebuah restoran.

Menyedari perbuatannya tidak disenangi, lelaki itu kemudian memintanya untuk merahsiakan kejadian tersebut.

Dalam laporan tersebut juga, wanita itu mendakwa mengalami ‘gangguan emosi’ sejak kejadian tersebut. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan