29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Nilai eksport produk kayu bumiputera bawah 1 peratus

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sumbangan usahawan bumiputera dalam kegiatan eksport produk perkayuan dan perabot masih lagi jauh ketinggalan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mereka hanya menyumbang kurang daripada 1 peratus nilai eksport produk berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, eksport produk perkayuan dan perabot menunjukkan prestasi yang membanggakan di dunia ketika ini.

“Diharapkan dengan pelaksanaan program VenTureS dan Smart-Partnership ini, sumbangan usahawan bumiputera perkayuan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian dalam kenyataan media yang diedarkan selepas Majlis Anugerah Usahawan Baharu Bumiputera Sektor Perkayuan di bawah Program VenTureS di Putrajaya,hari ini.

Program tersebut membabitkan 20 usahawan baharu bumiputera yang telah menamatkan sesi latihan dan lapan syarikat rakan strategik yang menerima anugerah berbentuk sijil serta plak.

Beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Bersama Industri bagi pelaksanaan Program Smart-Partnership.

Program VenTureS dilaksanakan bertujuan untuk melahirkan usahawan bumiputera baharu dalam industri perkayuan dan perabot tempatan.

Advertisements

Bagi tempoh lima tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), seramai 100 usahawan baharu akan dibangunkan selari dengan sasaran untuk mewujudkan seramai 600 usahawan Bumiputera baharu menjelang tahun 2025.

Dalam pada itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Majlis Perabot Malaysia (MFC) akan melaksanakan Program Smart-Partnership dalam Pembangunan Vendor Bumiputera yang merupakan kerjasama antara usahawan bumiputera dan bukan bumiputera dalam sektor perkayuan.

Untuk merealisasikannnya, MTIB dan dua syarikat rakan strategik iaitu Promptcon Enterprise Sdn Bhd dan Pusan Furniture Industries (M) Sdn Bhd serta dua usahawan Bumiputera baharu menandatangani MoA tersebut hari ini.

Matlamat program ini adalah untuk menggalakkan usahawan bumiputera menimba ilmu daripada pengeluar perabot yang berjaya dan seterusnya memulakan perniagaan dengan menjadi vendor atau subkontraktor perabot pada peringkat awalan.

Secara keseluruhan, seramai 22 usahawan bumiputera baharu dan 10 syarikat rakan strategik telah terlibat di bawah Program VenTureS dan Smart-Partnership.

Kementerian melalui MTIB akan terus giat melaksanakan pelbagai program ke arah memastikan bahawa agenda bumiputera diperkasakan dan sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan golongan itu agar kompetitif di pasaran global.

Program yang dilaksanakan bukan sekadar melahirkan usahawan bumiputera tetapi memastikan mereka boleh berdikari dan bersaing dalam pasaran terbuka. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan