SEMUA kontraktor makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diwajibkan mendapatkan bekalan bahan mentah dari pembekal dan produk bumiputera.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar baharu yang diperkenalkan itu sebagai tambahan kepada syarat mempunyai sijil halal yang dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, langkah tersebut sebagai usaha MARA untuk membantu memperkasakan ekonomi usahawan bumiputera.
“Keputusan dasar ini dibuat bagi membantu dan memperkasakan lagi usahawan-usahawan kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera mengembangkan perniagaan seterusnya berdaya saing dan berdaya maju.
“Selain daripada memastikan aspek Halalan Toyyiban diberi perhatian yang serius berasaskan nilai ketaqwaan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sebagai contoh, kata Asyraf Wajdi, bekalan kicap, sos, mi dan lain-lain mesti diambil daripada jenama syarikat-syarikat bumiputera yang mempunyai sijil halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau jabatan agama Isam negeri-negeri.
Manakala pembekal bahan mentah lain seperti ayam, ikan, sayuran dan lain-lain juga perlu diperoleh daripada pembekal bumiputera.
“Semua ini juga dimasukkan dalam kontrak perjanjian dengan kontraktor-kontraktor Dewan Selera MRSM,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, ekoran dasar baharu tersebut, beliau telah mengarahkan pemantauan dibuat secara berterusan oleh pentadbir MRSM dan secara berkala oleh pegawai-pegawai MARA daerah serta negeri.
“Saya sendiri pada bila-bila masa akan turun secara mengejut untuk memastikan aspek pematuhan ini diambil berat.
“Mana-mana kontraktor yang culas atau melanggar syarat kontrak boleh ditamatkan serta-merta,” tegasnya. – Edisi 9