YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke majlis santapan bersama diaspora Malaysia di Republik Rakyat China, hari ini.
Majlis berlangsung di China World Summit Wing Hotel, Beijing dihadiri kira-kira 300 rakyat Malaysia yang terdiri daripada warga Kedutaan Malaysia di China, pelajar serta pemastautin.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong telah disambut oleh Ketua Setiausaha Kementeri Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke selaku Menteri Pengiring; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan majlis penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sebagai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.
Penamaan itu bersempena ulang tahun ke-50 perhubungan diplomatik Malaysia dan China.
BFSU merupakan universiti pertama menawarkan kursus Bahasa Melayu di China pada tahun 1962, dengan mendiang Profesor Wu Zongyu sebagai perintis.
Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU adalah Kursi Akademik keempat yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Kursi Pengajian Melayu turut diwujudkan di Ohio University USA, Leiden University Belanda, Victoria University New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies di Korea Selatan.