YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini diberikan sambutan rasmi di Great Hall of The People di Beijing, China sempena lawatan negara Seri Paduka Baginda selama empat hari bermula semalam.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong disambut Presiden China Xi Jinping.
Lawatan ini adalah bersempena ulang tahun ke-50 perhubungan diplomatik Malaysia dan China yang terjalin dengan lawatan Tun Abdul Razak pada 31 Mei 1974.
Pada majlis itu, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan dengan iringan 21 das tembakan meriam.
Seri Paduka Baginda kemudian menerima tabik hormat daripada kawalan kehormatan sebelum memeriksa perbarisan bersama Presiden Xi.
Sultan Ibrahim turut diraikan oleh kanak-kanak yang mengibarkan bendera kedua-dua negara, sebelum mengadakan pertemuan bersama Presiden Xi di East Hall, Great Hall of The People.
“Saya telah banyak kali berkunjung ke China dan saya agak mengenali beberapa tempat di sini.
“Dasar luar Malaysia telah sentiasa menitik beratkan perhubungan yang kukuh dengan China dan kami berharap untuk mencorak kerjasama yang lebih erat lagi ke masa hadapan,” titah Seri Paduka Baginda dalam titah pendahuluan semasa bertemu Presiden Xi.
Yang di-Pertuan Agong turut menjemput Presiden Xi untuk melawat Malaysia pada kelapangan yang terdekat.
Selepas selesai pertemuan itu, Presiden Xi menghoskan Yang di-Pertuan Agong dalam satu majlis santapan negara di Golden Hall, Great Hall of The People.