PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Sr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan bahawa bahan mentah termasuk ayam yang dibekalkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak mempunyai sijil halal.
Sebaliknya, menurut beliau, setiap kontraktor makan wajib memperincikan secara bertulis dan menjadi sebahagian dokumen kontrak semua perincian bahan-bahan mentah serta nama pembekal termasuk jenama dan sijil Halal Jakim dan lain-lain.
Beliau berkata, semua pihak termasuk pengetua, penyelia asrama dan warden MRSM telah diarahkan dengan tegas agar membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan.
Pada masa yang sama, beliau berkata, para pegawai MARA daerah dan negeri serta pegawai bahagian pendidikan menengah ibu pejabat MARA juga diarah melakukan pemeriksaan berkala.
“Semua ini dilakukan bagi memastikan semua bekalan dan spesifikasi bekalan makanan yang disediakan untuk pelajar adalah mengikut apa yang telah disyaratkan dalam kontrak termasuk soal yang paling penting Halalan dan Toyyiban (kebersihan dan keselamatan).
“Insya-Allah saya sendiri dari semasa ke semasa akan lakukan terjahan dan lawatan mengejut ke semua MRSM-MRSM supaya tiada perlanggaran dilakukan,” katanya dalan kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, beliau mengambil tanggungjawab kerana itu adalah amanah yang perlu digalas maka sudah tentu kesejahteraan dan keberkatan untuk para pelajar adalah keutamaan beliau. – Edisi 9