MAHASISWA baharu universiti awam (UA) yang merupakan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diberi kelonggaran untuk lewat mendaftar masuk ke universiti masing-masing.
Kelonggaran mendaftar sehingga Ahad, 29 September itu diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menghormati hak mengundi seperti yang tertakluk dalam perlembagaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketetapan itu dibuat hasil perbincangan pihak kementerian dengan 12 UA.
Beliau berkata, ia sebagai usaha memberi kemudahan kepada mahasiswa baharu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Pelajar baharu yang terlibat boleh berhubung terus dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UA masing-masing dan memaklumkan tentang status sebagai pengundi di PRK DUN Mahkota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September sebagai hari pembuangan undi manakala 24 September untuk pengundian awal.
PRK DUN Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dari Barisan Nasional (BN) pada 2 Ogos lalu. – Edisi 9

