SINDIKET ‘gadis kalungan bunga’ ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di dua premis perniagaan sekitar ibu negara, semalam.
Operasi yang dilakukan pukul 9 malam itu nhasil risikan pasukan operasi di dua premis perniagaan di Bandar Manjalara, Kepong dan Bukit Bintang.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha, modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan perempuan warganegara asing dengan kalungan bunga yang mempunyai harga berbeza.
“Pelanggan akan diberi pilihan untuk memilih kalungan bunga pada kadar harga bermula RM100 hingga RM1,000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga tersebut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut serta dalam operasi tersebut ialah Pengarah Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen, Basri Othman.
Susulan itu, beliau berkata, 93 warga asing ditahan membabitkan tujuh lelaki warga China, lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Thailand.
Turut ditahan 62 wanita warga Thailand, 10 wanita warga Vietnam, empat wanita warga China dan masing-masing seorang wanita warga Mongolia serta Laos.
Kesemua warga asing terbabit berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun.
Jafri berkata, kesemua warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya untuk siasatan lanjut. – Edisi 9