25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

Sultan Selangor kesal, kecewa isu GISBH berlarutan begitu lama

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal dan kecewa berhubung isu Global Ikhwan Service & Business Holdings (GISBH) telah berlanjutan untuk tempoh yang lama tanpa tiada tindakan berkesan menanganinya.

Baginda bertitah, kelewatan menangani perkara tersebut menunjukkan kelemahan aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya.

Hal ini titah bagina sehingga menyebabkan perkara tersebut menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

“Beta ingin memberi peringatan sekali lagi kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa agama untuk memandang serius mengenai isu-isu yang berkaitan dengan tindak-tanduk kumpulan GISBH ini terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.

“Tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Berikut kenyataan penuh Sultan Selangor berhubung isu GISBH:

Beta melahirkan rasa dukacita apabila sebaik sahaja Beta berangkat pulang dari luar negara, Beta telah dikejutkan dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya. 

Beta difahamkan hasil siasatan polis setakat hari ini, polis telah mengesyaki bahawa kumpulan GISBH dan rangkaiannya telah melakukan beberapa jenis kesalahan jenayah yang serius. 

Pelbagai keterangan telah ditemui yang menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah yang disyaki telah dilakukan seperti penderaan terhada para pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat dilakukan di beberapa buah rumah amal termasuk sekolah agama Islam di bawah pengawalan GISBH. 

Kesalahan berhubung dengan amalan yang bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISBH. Semua perbuatan jenayah ini telah mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.

Menurut laporan yang Beta terima, kebanyakan daripada rumah amal yang di bawah pengawalan GISBH yang terlibat di dalam siasatan telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya negeri Selangor tanpa pendaftaran sepertimana keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. 

Beta berasa kesal dan kecewa kerana perkara ini telah berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara ini. 

Pihak polis menyerbu salah sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan GISB.
Advertisements

Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

Menyedari isu yang berlaku ini adalah satu perkara yang serius serta melibatkan umat Islam di negara ini, Beta telah memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Polis Selangor dan beberapa anggota MAIS di dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara ini dan mengenal pasti langkah-langkah segera yang perlu diambil bagi menangani perkara ini. 

Berikutan dengan mesyuarat tersebut, Beta telah menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) untuk bekerjasama mengambil langkah serius meniasat secara mendalam bagi memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.

Pada masa yang sama, sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat dari terus dianayai, Beta telah menitahkan agar semua rumah amal dan sekolah Islam yang di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah hendaklah diarah ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Negeri Selangor.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga digesa untuk mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ianya menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Di kesempatan ini juga, Beta ingin menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama atau pusat-pusat penjagaan amal agar menyemak latar belakang sesebuah sekolah atau pusat penjagaan amal tersebut agar tidak terjebak dengan sekolah dan pusat jagaan yang tidak berdaftar dan melaksanakan program dan pembelajaran yang meragukan. 

Ini adalah untuk memastikan anak-anak tersebut dididik dan dijaga dengan sewajarnya serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi terhadap anak-anak tersebut.

Ingatlah bahawa anak-anak tersebut adalah suatu amanah daripada Allah SWT dan ibu bapa serta penjagalah yang bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak tersebut.

Akhir kata Beta ingin memberi peringatan sekali lagi kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa agama untuk memandang serius mengenai isu-isu yang berkaitan dengan tindak-tanduk kumpulan GISBH ini terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka. 

Tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam.

Beta tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai “tin kosong” yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya. Kita hendaklah berpegang kepada prinsip “walk the talk or putting your words into action“. 

Di samping itu Beta juga menyeru agar semua agensi penguatkuasa agama dan pihak polis agar menjalankan penyiasatan dengan telus dan sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Sultan Selangor

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan