Oleh JULIANA ANIS RAMLI
ISU ketiadaan persijilan halal oleh beberapa premis makanan dalam sistem rangkaian (francais) terkemuka di negara ini mengejutkan pelbagai pihak, terutama kalangan pelanggan beragama Islam.
Ketiadaan persijilan halal tersebut mengakibatkan timbulnya keraguan dan hilang keyakinan orang ramai untuk mengunjungi premis makanan berkenaan.
Isu premis makanan gagal mendapatkan sijil halal bukanlah isu baharu, malahan masih berlaku dalam kalangan syarikat pengeluar produk makanan tempatan.
Sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan kaya dengan pelbagai juadah dan menu makanan, tentunya premis makanan mengambil peluang menjual makanan dengan produk makanan yang sesuai untuk semua pelanggan, termasuk mereka yang beragama Islam.
Malahan, premis makanan daripada sistem francais popular membawa imej penjenamaan di mata pelanggan yang membuatkan mereka beranggapan makanan yang disediakan telah mendapat pengiktirafan halal, walaupun persepsi itu tenyata meleset.
Tidak semudah itu hanya dengan menilai imej penjenamaan memberi makna bahawa semua makanan dalam premis makanan sistem francais telah diiktiraf status halalnya.
Untuk mendapatkan persijilan halal, syarikat premis makanan perlu mematuhi segala undang-undang berkaitan halal dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Garis panduan itu termasuk pembelian sumber bahan mentah dari pemebekal yang diiktiraf halal, kaedah penyediaan dan pengendalian makanan, merekrut pekerja yang mengikuti garis
panduan halal dan diberi kursus dan latihan halal.
Proses untuk mendapatkan persijilan halal itu bukan suatu proses yang mudah, malahan ia memerlukan rasa tanggungjawab dan komitmen yang tinggi dari pihak pengurusan syarikat.
Selain itu, terdapat kos yang harus ditanggung dalam proses mendapatkan sijil halal, maka tidak hairan sekiranya ada syarikat premis makanan yang tidak mengambil berat isu mendapatkan persijilan halal tersebut.
Harus difahami bahawa majoriti perniagaan dalam sektor makanan dipelopori oleh peniaga bukan Islam.
Mereka rata-ratanya mengamalkan perniagaan berdasarkan keperluan ekonomi dan keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan implikasi dan kesan terhadap masyarakat dan pelanggan beragama Islam khususnya.
Dalam konteks halal, ia memerlukan kefahaman terhadap konsep halal itu sendiri dan tujuan pelaksanaan untuk memenuhi tuntutan agama bagi pelanggan atau pengguna beragama Islam.
Munurut kajian, pengetahuan dan sikap memainkan peranan penting dalam mempengaruhi syarikat terhadap pematuhan piawaian halal dalam sektor makanan dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan prestasi organisasi tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa halal seperti Jakim juga memainkan peranan penting dalam memastikan dan memantau premis makanan sistem francais dengan menggalakkan mereka mendapatkan persijilan halal dan sentiasa mengemas kini status halal selepas tamat tempoh.
Ini kerana ramai pengunjung Islam beranggapan bahawa semua premis makanan sistem
francais menyajikan makanan memenuhi piawaian halal disebabkan jenamanya.
Meskipun ada jenama resepi makanan yang berasal dari luar negara, ditambah pula dengan pekerja restoran adalah beragama Islam, ia menambahkan lagi keyakinan para pelanggan.
Tanpa sijil halal, meskipun bahan mentah dibekalkan oleh pembekal yang diiktiraf halal, ia masih belum dapat memberi jaminan bahawa kualiti makanan yang disediakan diiktiraf halal.
Peniaga premis makanan seharusnya tidak mengambil jalan mudah dan bersikap tidak acuh dalam mendapatkan persijilan halal memandangkan ramai pelanggan terdiri dalam kalangan pelangan beragama Islam.
Di zaman yang penuh kompetitif ini, seharusnya pihak premis makanan perlu lebih peka terhadap kepentingan memperoleh persijilan halal dalam meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan di samping meningkatkan kualiti makanan dan servis pelanggan.
Dari sudut pandangan Islam, tiada halangan untuk menjalankan perniagaan demi mencapai keuntungan yang disasarkan.
Namun, ia harus dijalankan dengan amalan perniagaan yang beretika tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan dan meletakkan risiko impak terhadap pihak ketiga.
Walaupun memperoleh sijil halal adalah bersifat secara sukarela, namun amalan perniagaan yang mengikut garis panduan halal adalah lebih didorong oleh faktor ekonomi, nilai dan prestasi kewangan yang memberangsangkan.
Namun, harus difahami bahawa menjalankan perniagaan halal juga adalah salah satu aktiviti menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, yang memenuhi gabungan aspek ekonomi, undang-undang dan etika.
Antara langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran dalam isu status halal ni adalah peranan penting oleh pihak pelanggan sendiri.
Di era kemajuan teknologi dan digital ini, seharusnya pelanggan lebih peka terhadap status halal premis makanan dengan membuat semakan status halal dengan melayari laman web portal Jakim terlebih dahulu sebelum mengunjungi sesuatu premis makanan tersebut.
Manakala dari sudut perspektif pengusaha premis makanan, sokongan yang kuat dan rasa tanggungjawab daripada pihak pengurusan dan mempunyai tadbir urus halal yang baik dalam mendapatkan persijilan halal adalah sangat dititikberatkan.
Tindakan ini adalah sangat wajar dan penting dalam menjaga peradaban dalam perniagaan, sebagai simbol solidariti dan rasa hormat terhadap sesama masyarakat dalam menyokong aspirasi dan hasrat kerajaan memperkasakan rakyat melalui Ekonomi Madani dan Pelan Induk Industri Halal 2030 dalam meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi melalui industri halal.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan, UNITEN Business School Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di [email protected].