TOKOH pemikir Islam tersohor, Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar telah dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ketujuh.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan yang berkuat kuasa mulai 23 September ini bagi tempoh dua tahun, berakhir 22 September 2026.
Osman merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom serta Ijazah Kedoktoran dalam bidang Falsafah Islam dari University of Temple, Amerika Syarikat.
Pada masa kini beliau merupakan Penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), UIAM.
Menurut KPT, Osman juga memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya, atas kecemerlangan tersebut, beliau dinamakan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada tahun 2009.
“Kementerian yakin dengan pelantikan ini, Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini.
Penyerahan watikah pelantikan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abd Kadir di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Prof. Emeritus Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.
Beberapa hari lalu, Persatuan Alumni UIAM meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Zambry menyegerakan pengumuman rektor baharu UIAM yang dikosongkan sejak 31 Ogos lalu.
Presidennya, Khalek Awang berkata, kekosongan Rektor untuk tempoh yang lama adalah sesuatu yang tidak baik daripada segi tata kelola.
Ujar beliau, pelantikan segera itu penting untuk memulihkan kedudukan UIAM yang telah menyimpang daripada falsafah asal penubuhan. – Edisi 9