25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kes Natxo Insa dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM

Mesti Baca

Pengadil perlawanan Sabah FC-Terengganu FC digantung dua minggu

CYBERJAYA – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menolak pengadil selepas tamat perlawanan dengan Perak FC, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, berdasarkan bukti rakaman video dan laporan pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin, Insa didapati telah menyerbu dan menyentuh pengadil tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, secara keseluruhan jawatankuasa tersebut berpuas hati dengan prestasi Noor Azriel mengendalikan perlawanan Liga Super yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Perak di Ipoh berkenaan.

“Namun terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat dan pengadil tersebut akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Natxo Insa didapati menyerbu dan menolak Noor Azriel Baharudin selepas tamat perlawanan antara Perak FC dan JDT di Stadium Perak, Ipoh, Ahad lalu.

Sementara itu, nasib pengadil perlawanan Sabah FC dan Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada hari yang sama pula berbeza apabila beliau digantung selama dua minggu dengan serta-merta.

Sivasundaram berkata, pengadil terbabit telah didapati menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan sepanjang perlawanan berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut.

Selain digantung tugas, pengadil tersebut juga dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah.

“Beliau hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan,” kata Sivasundaram.

Sementara itu, pengadil terkemuka negara, Subkhiddin Mohd Salleh mengakui Insa sepatutnya menerima layangan kad merah dan dikenakan hukuman tegas dan bukan dibawa ke jawatankuasa tatatertib.

“Kalau pengadil buat silap, mereka terus digantung perlawanan. Tetapi kalau pemain terpaksa tunggu Jawatankuasa Disiplin buat keputusan dahulu yang mana ia memakan masa.

“Disebabkan tiada tindakan tegas, keganasan seperti ini terus berlaku,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Subkhiddin yang pernah menjadi pengadil Piala Dunia FIFA berkata, tindakan tersebut bukan untuk Natxo semata-mata tetapi kepada terhadap mana-mana pemain yang bertindak ganas seperti itu.

“Kita ‘reman’ mereka dahulu sebelum dapat keputusan dan selepas itu beri penggantungan mungkin untuk semusim sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang.

“Kita lihat pemain sekarang seolah-olah tidak menghormati pengadil. Malah kalau diberikan klip video itu kepada mana-mana pengadil antarabangsa sekalipun, mereka pasti menjawab kad merah perlu dilayangkan,” katanya.

Ia merupakan insiden terbaru yang membabitkan keganasan terhadap pengadil selepas penyerang Kelantan, Jack Hindle didapati menolak pengadil perlawanan, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin.

Manakala penyerang Melaka United, Alex dos Santos Goncalves pula didapati sengaja membalingkan bola ke arah pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan