30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rakyat mahu kembali ke pangkuan BN, Najib?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

ITULAH gambaran awal hasil dua kaji selidik atas talian yang dibuat oleh dua pihak berbeza, yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Satu kaji selidik oleh pihak universiti manakala satunya oleh media.

Justeru, amat menarik untuk diperkatakan apabila Perdana Menteri yang kelihatan ‘dibenci’ rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pilihan tertinggi untuk menerajui semula negara selepas PRU-15 nanti.

Mari kita lihat satu persatu.

Kaji selidik pertama dibuat oleh Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM-MAPAN), Dr Mashitah Mohd Udin dan Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura (UUM-ITS) , Dr Kamarul Azman Khamis.

Menurut laporan Utusan Malaysia, hasil kaji selidik atas talian yang dilakukan dalam tempoh tiga bulan iaitu antara Disember 2020 dan Februari 2021 serta melibatkan 608 responden mendapati Ahli Parlimen Pekan itu menjadi pilihan tertinggi iaitu 51.5 peratus.

Jumlah itu jauh mengatasi nama-nama lain termasuk Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin (10.2 peratus) atau Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (9.6 peratus).

Manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi pilihan kedua tertinggi iaitu 14.8 peratus, jauh mengatasi Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hanya memperoleh 0.3 peratus sahaja.

Keratan akhbar Utusan Malaysia 1 Mac 2021

Satu lagi kaji selidik dibuat oleh Utusan TV, sebuah media agensi ‘serpihan’ Utusan Malaysia selepas syarikat penerbitan akhbar Melayu tertua itu terpaksa ditutup.

Berdasarkan respon dari kaji selidik calon Perdana Menteri pilihan yang dibuat, sehingga artikel ini ditulis lebih 18,000 responden telah memberi maklum balas dan hasilnya amat mengejutkan.

Daripada jumlah itu 48 peratus atau hampir separuh memilih Najib sebagai Perdana Menteri diikuti oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (18 peratus) dan Anwar di tempat ketiga dengan 16 peratus.

Sebelum ini, media sama membuat kaji selidik berhubung parti politik yang mereka pilih dalam PRU-15 dan hasilnya Barisan Nasional (BN) menjadi pilihan mereka.

Keputusan sama turut diperoleh oleh kaji selidik UUM-MAPAN dan UUM-ITS yang mana majoriti responden mahukan BN bertanding secara bersendirian menentang Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Baik! Jumlah responden yang mengisi bancian itu mungkin tidak boleh mewakili keseluruhan pengundi namun, ia membawa isyarat jelas bahawa rakyat mengharapkan seorang pemimpin yang boleh membawa negara jauh lebih baik.

PRU-14 merupakan kemuncak kehendak rakyat mahu ‘berubah’ setelah berpuluh tahun dimomok oleh pihak pembangkang tentang kelemahan dan keburukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga parti yang memerintah negara selama 60 tahun itu tumbang.

Isu cukai jualan dan perkhidmatan (GST), skandal 1MDB serta momokan-momokan kemewahan hidup isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi peluru fitnah pembangkang diketuai oleh DAP bersama PKR, Amanah dan terbaru Bersatu (ketika itu).

Malahan sebelum PRU-14, Pas turut bersama-sama gandingan parti pembangkang ini untuk menyerang UMNO dan kerajaan BN semasa itu hampir saban waktu melalui mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah-ceramah di seluruh negara.

Kaji selidik yang dibuat oleh UtusanTV

Akhirnya dalam pilihan raya umum lalu, BN disingkirkan dari kerajaan buat kali pertama manakala Najib selaku Perdana Menteri mengambil tanggungjawab dan mengundur diri sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

PH telah dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negara dengan harapan membawa perubahan terhadap pemerintahan Malaysia setelah sekian lama di bawah ‘corak pemerintahan’ BN yang didakwa korup dan menyalahgunakan kuasa.

PH semasa menjadi pembangkang begitu banyak memberikan teori dan pandangan tentang penyelesaian masalah membelenggu rakyat. Maka terbentuklah Manifesto PH yang menjanjikan bulan dan bintang.

Pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengepalai PH yang kemudian diangkat sekali lagi menjadi Perdana Menteri juga antara sebab BN dan Najib ‘ditolak rakyat’ dalam PRU-14.

Malangnya peluang yang diberikan oleh rakyat dipersiakan oleh PH. Satu demi satu tembelang dan temberang mereka terbongkar apabila PH dilihat ‘gagal’ mentadbir negara dengan lebih baik.

22 bulan di bawah kerajaan PH seolah-olah menjadi neraka dalam kalangan sebahagian besar rakyat apabila satu persatu bantuan kepada mereka semasa zaman BN ditarik balik.

Mahathir yang selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Keempat, gagal mengulangi kecemerlangan dik kerana dikatakan terlalu ‘dikongkong’ oleh parti yang mempunyai majoriti terbesar dalam kerajaannya kali ini.

Malah Ahli Parlimen Langkawi yang berusia lebih 90 tahun itu juga dikatakan tidak mempunyai idea-idea baharu untuk ‘mengatasi’ corak pemerintahan Najib sebelum itu.

Dasar-dasar lama ketika zaman 1980-an dahulu dimunculkan semula – Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan dan pembinaan kereta nasional ketiga adalah antara pemikiran lapok yang dibawa oleh Mahathir yang sudah tidak relevan dengan keadaan hari ini.

Rakyat sudah tidak sabar menunggu pembubaran Parlimen bagi memilih kerajaan baharu. – Sumber: BeritaHarianSg

Pada masa yang sama, para menteri PH yang dilantik pula tidak kompeten dan tidak cukup ilmu dan pengalaman sementara para pegawai tinggi yang selama ini menjadi “penasihat” menteri pula digantikan secara besar-besaran untuk membersihkan pengaruh ‘orang Najib’ dalam kerajaan.

Tidak hairan apabila semua kementerian di bawah kerajaan PH seolah-olah lumpuh idea untuk membawa satu corak pemerintahan yang lebih baik berbanding BN.

Rakyat diminta ikat perut dan berkali-kali menyatakan bahawa kerajaan tiada wang sehingga terpaksa membuat pinjaman dengan negara luar khususnya Jepun dan China dan manifesto pula bukan lagi ‘kitab suci’ yang wajib dipatuhi.

‘Keistimewaan’ untuk orang Melayu yang dirasai sepanjang 60 tahun di bawah BN seolah-olah tidak dirasakan di bawah kerajaan PH, sebaliknya rakyat melihat kaum tertentu lebih mendapat laba.

Februari 2020, kerajaan PH ditumbangkan dari dalam berikutan tindakan Muhyiddin yang mengetuai gerakan membawa keluar Bersatu daripada PH menyebabkan kerajaan PH hilang majoriti di Parlimen.

Kerajaan PN hasil gabungan Ahli-ahli Parlimen Bersatu, UMNO dan Pas yang ketika itu di blok pembangkang serta sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibentuk sehingga hari ini, yang genap setahun pada 1 Mac lalu.

Malangnya kerajaan PN yang dianggap ‘tidak sah’ kerana bukan dibentuk melalui proses pilihan raya berdepan pula dengan pandemik Covid-19 dan kejatuhan ekonomi dunia yang teruk.

Muhyiddin dan PN yang pada awalnya berjaya mengekang Covid-19 dengan pemberian pelbagai bantuan pada mulanya dijulang bagai ‘hero’, semakin ditekan rakyat selepas setahun mentadbir Putrajaya.

Peningkatan kes-kes baharu wabak itu meningkat berkali ganda sejak Pilihan Raya Negeri Sabah penghujung tahun lalu, seolah-olah malapetaka kepada kerajaan Muhyiddin.

Rakyat mula menekan beliau dan kerajaan PN dari pelbagai genap sudut. Kerajaan seolah-olah semakin buntu untuk berhadapan dengan pandemik yang tidak berkesudahan.

Kes-kes baharu semakin meningkat sehingga melepasi 300,000 orang manakala pembelian vaksin yang dikatakan begitu lambat berbanding negara lain menjadi pukulan kepada Muhyiddin dan kerajaan.

Dan ketika PRU-15 bakal diadakan, rakyat mula menilai pemimpin dan kerajaan terbaik bagi mereka ketika semua parti politik utama sudah diberi peluang untuk menjadi kerajaan Pusat.

Mereka mula menghitung untung rugi dalam memilih parti yang memerintah apakah ketika zaman BN, PH atau PN merupakan kerajaan terbaik untuk rakyat.

Justeru, alasan mereka memilih Najib adalah kerana prestasinya dan merindui pemerintahan Perdana Menteri Keenam itu yang banyak membantu rakyat menjelaskan apa yang dimahukan oleh rakyat hari ini.

Tambahan pula, Najib menggunakan platform media sosial tidak pernah surut memperjuangkan isu-isu rakyat dan memberikan pandangan terhadap kerajaan.

Paling ketara ialah mengenai moratorium dan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperjuangkan sehingga kerajaan terpaksa akur dengan cadangan Najib.

Persoalannya, apakah Najib layak bertanding dalam PRU-15 nanti memandangkan beliau masih dihimpit dengan kes-kes mahkamah dan jika boleh bertanding manakala BN memenangi PRU-15, apakah UMNO sedia memberi laluan kepada beliau?

Kini rakyat sudah menyampaikan suara hati mereka dalam memilih Perdana Menteri Kesembilan dan parti yang menjadi pilihan sebagai kerajaan.

Mereka hanya menunggu Parlimen dibubarkan untuk dituangkan segalanya menerusi kertas undi. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan