25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Model Ekonomi Patriotisme jalan keluar dari kegawatan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.
UMNO

KUALA LUMPUR – Model Ekonomi Patriotisme yang disyorkan UMNO berupaya memberi jalan keluar kepada negara dari krisis ekonomi berpanjangan akibat pandemik COVID-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, model ekonomi baharu itu mempunyai matlamat memberi keadilan ekonomi kepada seluruh rakyat di samping membina negara yang stabil.

Menurut beliau, agenda ekonomi bersepadu Barisan Nasional (BN) yang tergendala apabila kerajaan bertukar tangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hendaklah dikembalikan.

“Ekonomi patriotisme hendaklah dijadikan asas kepada kerangka model ekonomi bagi pemerkasaan pembangunan negara pasca pandemik COVID-19,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau menambah, ekonomi negara kini berada dalam keadaan yang amat tenat dan di ambang kemunduran.

“Poket rakyat semakin nipis. Kedai pajak gadai panjang berbaris. Wang simpanan kian habis. Ada yang sedih ada yang menangis.

“Tetapi ada pula kluster kayangan yang sanggup berhabis. Mereka langsung tidak menjiwai hati rakyat yang terhiris,” jelasnya.

Advertisements

Selain itu, beliau memberitahu, Laporan Bank Dunia menyatakan Malaysia di belakang negara-negara ASEAN dari segi pelaburan dan pembangunan.

Ahmad Zahid berkata, laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mendedahkan pelaburan asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh sebanyak 56 peratus pada 2020.

“Manakala laporan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) menyatakan kadar penurunan pelaburan asing ke Malaysia adalah sebanyak 68 peratus, paling corot di rantau ini,” ujarnya.

Mengimbau kembali, beliau berkata, berbanding sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Malaysia merupakan negara yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi serta penerima pelaburan asing terbesar di rantau Asia.

“Sekarang kita kian ketinggalan. Negara jiran menerima limpahan pelaburan walaupun mereka turut dilanda pandemik COVID-19.

“Bagi menjadi kerajaan semula, kita perlu kemukakan tawaran baharu yang boleh mengembalikan hak-hak rakyat yang telah hilang,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berpandangan, UMNO perlu tampil dengan model Ekonomi Patriotisme bagi memulihkan ekonomi negara yang semakin merudum. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan