29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PPBM berniat jahat mahu hapus, gantikan UMNO

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA LUMPUR – Suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merupakan antara faktor yang mendorong UMNO menolak penyertaan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan itu bukan hanya diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi parti sahaja.

Menurut beliau, PPBM berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO.

“Kita sedar, malah semua ahli UMNO sedar, bahawa PPBM tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya, dan tidak mempunyai sokongan akar umbi. Namun, hasrat ular lidi untuk menelan ular sawa terus dipergiatkan tanpa henti.

“Termasuklah muslihat politik ketika kita menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah. Waspadalah! Muslihat mereka tidak akan berhenti selagi UMNO tidak hancur,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau menambah, dukungan terhadap pembentukan kerajaan PN adalah demi rakyat.

“Kerajaan sebelumnya menzalimi rakyat. Mereka gagal melaksanakan manifesto yang akhirnya mereka akui ia bukan kitab suci. Malah janji 100 hari pertama pun semuanya ke laut!” jelasnya.

Ahmad Zahid memberitahu, penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan dalam 124 persidangan perwakilan UMNO bahagian.

Malah, katanya, sebanyak 147 daripada 191 ketua UMNO bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut.

“Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, realiti politik hari ini memerlukan UMNO melakukan penjajaran penyesuaian politik baharu untuk meneruskan matlamat penubuhannya.

“Kerana itulah kewajaran dan kematangan saf kepimpinan UMNO menolak kerjasama dengan PPBM setelah kita sedari ketidakjujuran muslihat politik yang dilakukan oleh mereka terhadap UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyatakan BN akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara bersendirian.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO mesti memenangi kerusi terbanyak kalau mahu menjadi parti yang dominan semula selepas PRU-15.

Beliau menambah, BN juga perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersamanya.

“Dominan bukan bermaksud kita angkuh. UMNO adalah parti terbesar bangsa Melayu. UMNO adalah parti terbesar di negara ini.

“Apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepimpinan negara ini, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan.

“Selama 22 bulan rakyat merana, Raja-Raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, Bahasa Kebangsaan diremehkan, aset-aset negara dilelong dengan sewenang-wenangnya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menegaskan pendirian UMNO yang menolak kerjasama dengan PPBM, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP dalam menghadapi PRU-15.

Beliau berkata, tiada perbincangan dengan mana-mana parti terbabit sama ada secara rasmi atau sebaliknya manakala UMNO tetap akan bertanding menggunakan logo BN. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan